Projek Wakaf Air bantu penduduk di Jerantut

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Satu lagi projek Wakaf Air telah siap bagi membantu penduduk Kampung Belukar, Damak, Jerantut mendapat bekalan air bersih yang lebih baik.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man projek pembinaan telaga tiub dan pemasangan tangki simpanan air jenis HDPE menggunakan dana wakaf sebanyak RM49,600 sahaja.

- Advertisement -

“Terima kasih kepada pihak pewakaf. Semoga pahala mengalir seperti air,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut mengucapkan terima kasih kepada urusetia Wakaf Air dan kontraktor.

Tabung ‘Wakaf Air’ merupakan inisiatif Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bertujuan menyediakan sumber pembiayaan alternatif projek-projek perkhidmatan air secara mudah, cepat dan mampan melalui instrumen wakaf.

Memorandum Persefahaman (MoU) di antara KASA dengan YWM telah dimeterai pada 17 Disember 2020.

Wakaf Air menyediakan platform kepada masyarakat awam, korporat dan pihak swasta untuk turut sama mengambil bahagian berdasarkan kemampuan masing-masing dalam usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan air kepada mereka yang memerlukan melangkaui sempadan agama, kaum dan keturunan.

Ia merupakan skim berstruktur untuk membolehkan orang ramai melakukan ibadah wakaf dalam sektor perkhidmatan air yang sangat penting dalam kehidupan manusia.

Peringkat awal penggunaan dana Wakaf Air adalah bagi membiayai projek-projek perkhidmatan air berskala kecil bernilai di bawah RM50,000 seperti penggalian perigi, penyelenggaraan dan pembelian alat ganti bagi meneruskan bekalan air bersih dan penyediaan sumber air alternatif. – HARAKAHDAILY 11/1/2022

- Advertisement -