Munaqasyah platform selesai isu, perkasa hala tuju

SEMALAM saya kongsikan kepada barisan kepimpinan dan jawatankuasa PAS Perlis, kerja kita dalam parti adalah kerja dakwah untuk menyambung perjuangan Rasulullah S.A.W. Ini bermakna, PAS pasti akan berhadapan dengan ujian dan cabaran yang getir seperti yang dihadapi oleh Rasulullah S.A.W dan para Sahabat R.A.

Walaupun PAS telah mengalami beberapa siri perubahan kepimpinan tertinggi parti, asas perjuangan PAS tetap sama. PAS terus istiqamah berpegang teguh kepada prinsip al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan Qias. Setiap strategi perjuangan PAS mestilah mengambil kira kepada dosa dan pahala serta mengabdikan diri dan perjuangan ini kepada Allah S.W.T.

Advertisement

Perkongsian di atas ini adalah tanda telah bermula program Munaqasah Ucapan Dasar Presiden PAS untuk tahun ini dan Perlis Indera Kayangan menjadi negeri pertama yang kami santuni. Saya bersama YB Senator Ustazah Nuridah Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia telah mewakili PAS Pusat dalam program ini.

Program ilmu ini adalah anjuran Lajnah Penerangan dan adalah wadah yang sangat penting bagi memastikan hala tuju yang telah ditetapkan oleh YB Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS dapat difahami oleh para penggerak parti khususnya di peringkat negeri dan kawasan. Saya yakin, komunikasi yang jelas antara pimpinan tertinggi parti dengan ahli di peringkat negeri, kawasan dan cawangan adalah kunci utama kepada pemerkasaan jentera PAS menuju PRU15.

Insya-Allah program ini akan diteruskan dengan negeri-negeri lain di samping penglibatan AJK-AJK PAS Pusat yang lain dan telah bermula semalam dan akan berlangsung sehingga akhir bulan Februari ini.

Kesemua ahli dan jawatankuasa Perhubungan Negeri serta kawasan hendaklah bersiap siaga dan memanfaatkan program ini semaksimum yang boleh sebagai platform terbaik untuk memastikan isu-isu dalaman parti dapat diselesaikan serta fokus hala tuju parti dapat diperkasakan.

“Islam Menyatukan Ummah”

YB SENATOR IR TS KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN 
Ketua Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 10/1/2022

Sumber Asal: https://m.facebook.com/403454261150998/posts/467389061424184