Ribut salji landa Pakistan: Kematian cecah 23 orang

- Advertisement -

KARACHI: Angka kematian akibat ribut salji tebal yang melanda tanpa diduga di stesen bukit terkenal berhampiran ibu negara Pakistan, Islamabad di sini meningkat kepada 23 orang selepas seorang kanak-kanak perempuan bawah umur yang menghidap selsema dan radang paru-paru yang teruk meninggal dunia kerana tidak dapat dikejarkan ke hospital tepat pada masanya.

Beribu-ribu orang berkunjung ke Murree selepas bandar yang indah di Rawalpindi di wilayah Punjab itu menerima salji yang memecahkan rekod mencecah ketebalan 81 sentimeter, menyebabkan pentadbiran tempatan tidak berdaya mengawal keadaan dalam kejadian kelmarin itu menyebabkan 1,000 kenderaan terkandas dan 22 pelancong mati kesejukan.

- Advertisement -

Salji lebat sejak tiga hari lalu itu turut menimbus Murree, pekan di tanah tinggi yang terletak kira-kira 65 kilometer dari Islamabad itu dan kawasan lembahnya diliputi salji tebal, menyekat jalan serta memutuskan bekalan elektrik.

Kematian kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang meninggal dunia di Jhika Gali itu diumumkan ketika pekerja penyelamat dan tentera bertungkus-lumus untuk membersihkan salji di jalan-jalan raya di lokasi kejadian.

Jumlah angka 23 kematian itu disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Sheikh Rasheed Ahmed dalam satu kenyataan media.

Sementara, seorang pelancong, dikenali sebagai Samina yang terperangkap di dalam keretanya selama berjam-jam akibat salji tersebut menggambarkan bagaimana dia ‘melihat kematian’ di hadapannya ketika dia menunggu bantuan.

Samina memberitahu BBC dia telah meninggalkan rumahnya pada pukul 16:00 waktu tempatan untuk pergi ke Murree, tetapi tidak lama kemudian dia mendapati dirinya antara mereka yang terperangkap dalam timbunan tebal salji. 

“Saya dapat melihat kematian di hadapan saya. Ia seperti terdapat puncak salji dibina di sekeliling kereta kami… Saya tidak dapat menjelaskan dengan perkataan apa yang saya alami itu,” katanya. – Agensi

- Advertisement -