SEMALAM saya turun meninjau keadaan banjir di kawasan Parlimen Pagoh meliputi Bukit Gambir dan Bukit Kepong. Banyak kawasan rendah terutama yang berdekatan dengan sungai dinaiki air.
Penduduk yang terlibat sudah dipindahkan ke beberapa Pusat Penempatan Sementara (PPS) berdekatan.
Saya kemudiannya ke PPS Felda Maokil, Bukit Kepong, Kampung Jawa, Lenga dan Sekolah Kebangsaan Lenga bagi menziarahi penduduk yang dipindahkan. Setiap satu PPS menempatkan antara 10 hingga 20 keluarga mangsa banjir.
Saya juga singgah ke Galeri Darurat Bukit Kepong, bagi meninjau keadaan muzium yang menempatkan banyak bahan bersejarah yang turut dinaiki air.
Dari aspek kebajikan mangsa banjir, saya dapati penduduk yang dipindahkan ke PPS dibekalkan dengan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi. Alhamdulillah, kemudahan kesihatan turut disediakan.
Penduduk berkongsi bahawa tindakan pantas pasukan keselamatan dan agensi terlibat memindahkan mereka ke PPS sejurus kawasan kediaman dinaiki air menghindarkan mereka dari bahaya bencana tersebut. Terima kasih saya ucapkan atas kecekapan dan kesiapsiagaan jabatan, agensi kerajaan serta NGO yang terlibat dalam pemindahan penduduk.
Saya juga dimaklumkan yang tidak semua mangsa banjir mengetahui mengenai bantuan-bantuan yang disediakan Kerajaan Persekutuan. Saya harap maklumat ini dapat disebarluaskan dengan lebih sistematik dan terus kepada golongan sasar agar tidak ada mangsa yang tertinggal atau terlepas daripada menerima bantuan ini.
Saya berharap agensi-agensi terlibat juga dapat memudahkan birokrasi agar bantuan dapat dipercepatkan kepada mereka yang terkesan dengan banjir.
Terima kasih sekali lagi buat frontliners, para sukarelawan, orang perseorangan serta semua pihak yang terus istiqamah membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan ini. Terima kasih semua.
TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
Ahli Parlimen Pagoh
Pengerusi Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 6/1/2022
Sumber Asal: https://www.facebook.com/420051606145700/posts/485224802961713