Suburkan Ta’awun Siyasi dalam kalangan parti politik Melayu-Islam

- Advertisement -

MAJLIS Syura Ulamak PAS (MSU) dalam muzakarahnya baru-baru ini mengeluarkan kenyataan peri pentingnya usaha berterusan untuk memperkasakan MN dan PN dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam.

Deminya, menurut kenyataan tersebut, perundingan kerusi perlulah dilaksanakan semaksimanya bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam PRU15 nanti. 

- Advertisement -

MSU juga menyeru agar semangat Ta’awun Siyasi terus disuburkan di kalangan pemimpin dan ahli politik parti-parti Melayu Islam melalui pertemuan bersemuka dan bermusyawarah secara berterusan. Segala permasalahan hendaklah dihadapi dengan kesabaran, berlapang dada, saling memaafkan selain mengelakkan perselisihan di media terbuka.

Majlis Syura Ulamak PAS adalah pemegang taruh kekuasaan tertinggi dalam Perlembagaan PAS dalam memahami dan melaksanakan perintah al-Quran dan as-Sunnah.

Saya mendoakan agar harapan MSU tersebut diperkenankan Allah azza wajalla dan menjadi suatu kenyataan yang menyejukkan hati umat Islam dan rakyat Malaysia seluruhnya. Kestabilan politik negara adalah antara matlamat utama perjuangan politik Islam.

Perpaduan politik umat Islam adalah nikmat besar yang sayugia disyukuri dan dijaga. Ia disebut di dalam al-Quran dan as-Sunnah secara jelas. Ia juga secara langsung mengangkat azab perpecahan yang diturunkan oleh Allah ke atas umat Nabi Muhammad S.A.W yang lalai daripada pengajaran dan perintah agama-Nya. Kesatuan umat di atas semangat agama pasti menjamin keredaan Allah ke atas kita semua.

Mensyukuri nikmat Allah, selain bermaksud untuk memperolehi keredaan-Nya, ianya juga bertujuan mengekalkan nikmat tersebut ke atas kita, bahkan menambahkannya lagi. Justeru seawal-awal mensyukuri nikmat Allah adalah dengan menjaga dan mengekalkannya. Penjagaan dan pengekalan nikmat sedia ada itulah yang akan menjamin pertambahan dan pengukuhan seterusnya.

Justeru saya konsisten mencadangkan agar usaha menjaga dan mengukuhkan Muafakat Nasional adalah sebahagian daripada tanda kesyukuran kita kepada Allah di atas nikmat perpaduan. Segala kemajuan yang ingin kita capai selepas itu mestilah bertitik tolak daripada jaminan kemampuan dan kelestarian kita memugari Muafakat Nasional dengan sebaiknya.

Kita umat yang biasa bertengkar dalam politik. Ia cerita lama yang kita terpaksa lalui dan terima. Ia sejarah perpecahan umat. Tetapi ia tidak boleh menjadi acuan politik Islam. Perpecahan bukan ketandaan umat Islam yang berjaya. Perpecahan akan terus mengekalkan kemunduran politik Islam.

Perikatan Nasional (PN) adalah usaha murni PAS. Jika Umno bertegas menolaknya hari ini, maka ia sama sekali tidak boleh dilihat sebagai pengakhiran kepada Muafakat Nasional oleh kedua-dua parti PAS atau Umno. Jalan-jalan penyelesaian bukanlah sukar untuk ditemukan.

Demi sampai ke sesuatu destinasi, walaupun terhalang oleh kesesakan, kepadatan, kebingitan dan pelbagai halangan, pihak JKR pasti berusaha membina jalan-jalan susur, pintas, bertingkat-tingkat dan sebagainya. Lihatlah bandar-bandar besar di seluruh dunia termasuk bandar raya Kuala Lumpur. Tiada jalan mati. Kita mesti sampai ke destinasi impian.

Begitulah sains politik Islam. Kejayaan politik Islam adalah bergantung kepada keupayaan kita memecah kebuntuan lama. Fiqh Perpaduan haruslah diketengahkan sebagai tambah baik kepada maksud Fiqh Ikhtilaf. Kita perlukan pemimpin negara berjiwa kasih sayang yang luas dan damai seluas jiwa merdeka yang hanya sujud dan takut kepada Allah. Semoga perpaduan umat Islam mengatasi segalanya.

USTAZ NIK MOHAMAD ABDUH – HARAKAHDAILY 5/1/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100044324081788/posts/470705191083613/

- Advertisement -