Stesen Mek Awey bantu anak muda berniaga

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

TUMPAT:
Bagi membantu anak-anak muda terbabit dalam sektor perniagaan kerajaan negeri sehingga sekarang membuka tiga Stesen Mek Awey yang bermula di Bandar Baru Tunjong.

Kemudian diikuti di Pulai Chondong Machang dan semalam beroperasi pula di Taman Kota SPP Warisan, Berangan, Tumpat.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Wan Roslan Wan Hamat berkata setiap Stesen Mek Awey membabitkan kos antara RM50,000 hingga RM60,000.

- Advertisement -

“Tujuh lagi stesen yang sama akan dibuka tahun ini bagi melengkapkan 10 Stesen Mek Awey di Kelantan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Stesen Mek Awey di Taman SPP Kota Warisan semalam.

Turut hadir isteri Menteri Besar Datin Siti Zabedah Abdul Hamid, Timbalan Exco Zuraidin Abdullah, Adun Kelaboran Mohd Adanan Hassan dan Adun Wakaf Bharu Mohd Rusli Abdullah.

Wan Roslan juga berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM500,000 tahun lalu bagi membuka Stesen Mek Awey secara berperingkat-peringkat bagi membantu anak-anak muda terbabit dalam perniagaan.

Menurutnya juga dua stesen Mek Awey yang dibuka tahun lepas mendapat sambutan orang ramai.

“Saya berharap Stesen Mek Awey di kawasan Parlimen Tumpat turut mendapat sambutan ramai.

“Tiga hari setelah beroperasi lokasi perniagaan itu mendapat sambutan orang ramai khususnya anak-anak muda,” ujarnya.

Kata beliau juga memandangkan jualan di Stesen Mek Awey mendapat sambutan menggalakkan, vendor akan memperkenalkan menu tambahan.

Katanya, sebelum ini hanya char kwey teow, buger, takoyaki, namun kini sate turut menjadi sebahagian menu jualan di Stesen Mek Awey. – HARAKAHDAILY 4/1/2022

- Advertisement -