BWI: Terima kasih kerajaan pantas agih bantuan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

JELI:
Perasaan syukur dan terima kasih diluahkan mangsa banjir selepas kerajaan mempercepatkan pembayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) biar air bah belum surut sepenuhnya.

Kata mereka ia membuktikan kecaknaan kerajaan terhadap musibah yang sedang menimpa rakyat sekarang, ditambah pula wabak Covid-19 yang belum reda.

Seorang penduduk, Che Mat Ali Che Awang, 72, dari Kampung Tunku Abdul Rahman berkata, bantuan yang diberi ketika tempoh sukar sekarang sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarganya.

- Advertisement -

Kata bapa tunggal kepada lima anak itu, bantuan tersebut dapat meringankan beban mangsa banjir yang terjejas termasuk mengalami kerosakan harta benda.

“Tahun ini sahaja empat kali pakcik terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah dimasuki air banjir sehingga mencecah hampir paras dada.

Che Mat Ali Che Awang

“Empat tilam dan televisyen turut musnah disebabkan banjir. Saya bersyuur dengan ada bantuan ini sekurang-kurangnya dapat saya guna membeli barangan keperluan anak bongsu yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU),” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Kuala Balah semalam.

Sebelum itu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menyampaikan sumbangan berbentuk wang dan kotak makanan kepada mangsa banjir di Kuala Balah.

Setiap mangsa banjir menerima sebanyak wang tunai RM300 dan bantuan makanan. Manakala, RM500 diberikan kepada penduduk yang mengalami kerosakan peralatan rumah.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan kadar Bantuan Wang Ihsan untuk mangsa banjir akibat Monsun Timur Laut ditambah kepada RM1,000 daripada RM500 bagi setiap Ketua Isi Rumah.

Manakala bantuan kematian kepada waris mangsa dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000.

Tengku Mahmud Tengku Senik

Seorang lagi penduduk Tengku Mahmud Tengku Senik, 70 pula berkata, beliau reda dengan apa yang menimpa keluarganya akibat banjir baru-baru ini.

Katanya, beliau tidak menyangka banjir tahun ini berbeza berbanding sebelum ini.

“Pengalaman yang pernah ada sebelum ini menyebabkan pakcik tidak begitu kekok melalui situasi banjir seperti yang berlaku baru-baru ini,” katanya.

“Apa pun saya reda dengan apa yang berlaku. Pakcik juga ucap terima kasih kepada kerajaan kerana mengagihkan bantuan dengan pantas kepada rakyat yang terkesan dengan musibah banjir,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/1/2022

- Advertisement -