Bantu sediakan platform e-dagang ‘percuma’

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

PUTRAJAYA:
Sukan elektronik atau e-Sports merupakan suatu cabang sukan yang tidak harus dipandang sebelah mata.

Ini kerana fenomena global hari ini daripada industri permainan yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara Malaysia.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sukan elektronik telah berkembang dengan kewujudan pelbagai komuniti e-Sports atau disebut ‘gamers’.

- Advertisement -

“Saya melihat bahawa komuniti e-Sports ini mempunyai potensi untuk berkembang melangkaui bidang e-Sports itu sendiri seperti perniagaan dalam talian. Ini langkah terbaik dalam dunia digital dan bukan sekadar bermain ‘game’ namun langkah awal persediaan ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Figura e-Sports di Malaysia seperti Soloz atau nama sebenar Mohd Faris Zakaria yang mampu menjana pendapatan RM50,000 sebulan, betul-betul menyebabkan ramai anak muda untuk mengikut jejak beliau.

“Sektor e-dagang Malaysia kini meningkat saban tahun pada kadar 23 peratus sehingga menghasilkan nilai RM267.6 juta bagi suku tahun ketiga 2021 (3Q21),” ujar beliau selepas menerima kunjungan hormat Presiden Esports Malaysia Terengganu, Ahmad Shahrul Nizam Ab Ghani di pejabatnya, di sini, hari ini.

Menurutnya, banyak perkara yang dibincangkan pada pertemuan itu terutama melibatkan program-program pembangunan sukan e-Sports di negeri Terengganu khusus bagi Parlimen Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berhasrat membantu menyediakan platform e-dagang secara ‘percuma’ kepada usahawan muda di negeri itu.

“Saya juga berhasrat membantu menyediakan platform e-dagang percuma kepada usahawan muda di Parlimen Terengganu, yang berminat memasarkan secara atas talian produk-produk mereka. Hal ini adalah menjadi perintis untuk digitalisasi dan menuju IR4.0.

“Saya mahu melihat bidang e-Sports di Terengganu ini terus unggul dan menjadi peneraju di Malaysia. Saya akan minta Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Terengganu untuk berbincang dengan Esports Malaysia Terengganu bagi menganjurkan beberapa program e-Sports di Parlimen Kuala Terengganu,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya bagi melihat kejayaan yang lebih baik agensi-agensi di bawah MOSTI akan dilibatkan sama bagi membantu membangunkan e-Sports di Terengganu.

“Kita meraikan kepelbagaian minat dan hobi anak muda di Kuala Terengganu dan di samping itu dapat menjana pendapatan kita (rakyat) juga serta dapat membuka peluang pekerjaan baharu, insya-Allah,” ujarnya.

Menurut sumber, Malaysia pernah menghantar atlet e-Sports pada Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia dan pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina dan kini sedang dipertimbangkan untuk dipertandingkan pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

Jumlah peminat e-Sports bertambah daripada 9.5 juta pada 2016 kepada 19.8 juta pada 2019, dan angka itu telah mewakili kira-kira 60.7 peratus penduduk Malaysia pada tahun 2019 lalu.

Manakala, industri permainan e-Sports sahaja telah menyumbang pendapatan sebanyak AS$100 juta atau RM419.50 juta kepada Malaysia pada tahun 2018.

Secara global, industri itu dijangka memperoleh kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 10.9 peratus pada 2018 hingga 2023, yang akan menghasilkan volum pasaran sebanyak 168 juta permainan video menjelang 2023. – HARAKAHDAILY 4/1/2022

- Advertisement -