450 sukarelawan KBS berkampung di Kuala Langat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Misi bantuan pasca banjir Skuad Sukarelawan Pasca Banjir Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Kuala Langat yang bermula 30 Disember lepas berakhir hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, misi tersebut turut mendapat kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya seramai 450 sukarelawan KBS, 22 anggota ATM dan 8 operator Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) turut terlibat pada misi tersebut.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, ia mendapat sambutan yang begitu baik daripada orang ramai dan pihak swasta. Terima kasih kepada semua penaja kerana sudi menyalurkan bantuan kepada #KeluargaMalaysia yang terjejas.

“InsyaAllah, kita akan meneruskan misi ini di negeri-negeri lain yang terjejas,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya hari ini.

Misi tersebut turut disertai Adun Dengkil Adhif Syan Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS Ramona Mohd Razali, TKSU (Pengurusan) KBS Abdullah Hasan, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Mohd Azhari Mohammad.

Selain itu Pegawai Memerintah 91 Rejimen Bantuan Rejimen Askar Jurutera Diraja Kol Muhammad Zamri Musa, Group CED DHAYA MAJU-LTAT Dato’ Mohamed Razeek Md Hussain dan Pengarah Institut Kemahian Belia Negara (IKTBN) Sepang Rosnoizam Abd Majid.

Manakala pada program lain Ahmad Faizal menziarahi mangsa banjir di Kampung Labohan Dagang dan menyantuni keluarga Taiban Rembon, 68 dan isterinya, Paredah Sitor, 67.

Menurutnya juga Skuad Sukarelawan Pasca Banjir KBS dan anggota ATM bergotong-royong membersihkan sekitar rumah pasangan warga emas terbabit.

Kata beliau juga beberapa bantuan turut disampaikan antaranya dapur gas, beras, tilam dan pelbagai lagi. – HARAKAHDAILY 4/1/2022

- Advertisement -