Selepas cuci rumah, JAM agih sumbangan ‘back 2 school’

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

JELEBU:
Setelah selesai melaksanakan tugas mencuci rumah mangsa banjir, Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Sembilan mengagihkan pula sumbangan keperluan untuk kanak-kanak yang akan memulakan sesi persekolahan tahun hadapan.

Pengarahnya, Mohd Shahril Zainuddin berkata, kini bantuan kepada mangsa banjir mula memasuki fasa untuk pihaknya mencukupkan keperluan mereka termasuk menyediakan keperluan untuk sesi persekolahan 2022.

- Advertisement -

“Sekarang ini, kita hampir selesai fasa bantuan untuk kerja mencuci dan mengemas. Sekarang ini kita kita hendak lihat dari segi kelengkapan mangsa banjir.

“Contohnya barangan keperluan untuk program back 2 school dan keperluan untuk mereka mulakan hidup selepas banjir seperti dapur memasak, tong gas, dan barang kering,” katanya ketika ditemui Harakahdaily, di Kuala Klawang, pada Rabu.

Mohd Shahril Zainuddin

Menurut Mohd Shahril, JAM Negeri Sembilan berjaya membantu mencuci hampir 500 buah rumah mangsa banjir di sini.

Katanya, kerja-kerja pembersihan itu dilakukan dengan tenaga kerja daripada 520 orang petugas berdaftar dengan Bilik Operasi Jelebu.

“Sebelum ini, kita dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan Kolej Vokasional Kuala Klawang membantu menyediakan makanan kepada mangsa banjir sejak Selasa (21 Disember) hingga Selasa lalu (28 Disember).

“Alhamdulillah, banyak bantuan yang kita terima hasil kerjasama pelbagai pihak, selepas ini kita mula beri bantuan dari aspek keperluan isi rumah,” katanya.

Kata Mohd Shahril, JAM Negeri Sembilan menghantar sumbangan tersebut secara terus ke rumah yang terkesan banjir bagi mengelakkan keciciran.

Menurutnya lagi, tindakan itu juga diambil bagi mengelakkan barangan sumbangan bertindih selain untuk tujuan menyelaraskan pengagihan. – HARAKAHDAILY 31/12/2021

- Advertisement -