Penduduk trauma laporan banjir gelombang kedua

Banjir gelombang kedua di Kampug Mesek, Manek Urai.
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

RANTAU PANJANG:
Selepas diuar-uarkan laporan jangkaan akan berlaku gelombang kedua di Kelantan, penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Golok tidak dapat tidur lena.

Seorang penduduk di Kampung Tersang, Che Hasniza Che Omar, 44, berkata beliau seakan trauma dengan banjir yang berlaku baru-baru ini.

Kata beliau sekeluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selama seminggu.

- Advertisement -

“Ramai mangsa banjir di sini meluahkan kegelisahannya sehingga tidak lena tidur malam memikirkan keadaan yang akan berlaku.

Che Hasniza Che Omar

“Ini kerana gelombang pertama baru-baru ini kediaman saya turut ditenggelami sehingga hampir paras bumbung,” katanya ketika ditemui di sini.

Baru-baru ini media melaporkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjangka akan berlaku banjir di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu bermula semalam.

Ramalan itu berdasar laporan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Beberapa kawasan rendah di Kelantan ditenggelami banjir semalam termasuk Kampung Mesek, Manek Urai Kuala Krai.

Bagaimanapun cuaca di Kota Bharu cerah hari ini dengan tiupan angin sekali sekala agak kuat.

Che Hasniza berkata, rumahnya ditenggelami banjir selama seminggu bermula 17 Disember lalu.

Katanya, biarpun masih keletihan, namun beliau bersiap sedia sekiranya gelombang berlaku memandangkan setiap tahun biasanya berlaku beberapa gelombang.

“Setiap tahun memang kita sedia maklum akan berlaku beberapa gelombang, tetapi kali ini memberi ketakutan buat saya sekeluarga kerana paras air hampir mencecah bumbung,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/12/2021

- Advertisement -