Hasni gembira Jabatan Amal bantu cuci rumah

Anggota Jabatan Amal Malaysia membantu mencuci rumah Hasni.
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH | Foto MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE

HULU LANGAT: “Hilang sikit penat saya apabila ada yang sudi datang bantu mencuci rumah selepas banjir,” luah Mohamad Hasni Hassan, 24, ketika ditanya mengenai bantuan yang dihulurkan Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kedah untuk mencuci kediamannya.

Menurutnya, dia mencuci kediaman seorang diri berikutan rumah ibu bapanya juga turut terkesan semasa banjir di Taman Sri Nanding, di sini.

Katanya, selain JAM yang datang membantu dalam kerja-kerja pembersihan, dia juga juga dibantu ahli keluarga dan rakan sepejabat abang iparnya.

- Advertisement -

Sehingga Jumaat lalu, Mohamad Hasni berjaya mengosongkan rumah dan mencuci lumpur pada lantai rumah.

Sebagai seorang juruteknik, dia akan cuba membaiki peralatan elektrik selepas mencuci dan mengeringkan barangan berkenaan.

“Apabila ada yang datang membantu, hilang sikit penat kita, bukan kita seorang sahaja buat, kalau seorang memang penat, bila ramai yang datang tolong itu, kurang sikit penat,” katanya.

Semasa kejadian, Mohamad Hasni tiada di rumah dan dia tidak dapat menyelamatkan walau satu pun barang kerana tidak menjangkakan kejadian tersebut.

Menurutnya, dia akan selesai mengemaskan rumah terlebih dahulu dan menggunakan barangan bantuan yang disumbangkan sebelum memikirkan rancangan seterusnya untuk dia dan keluargnya.

“Setakat ini, kemas dahulu, mana yang orang bagi itu saya guna dahulu, tak fikir lagi lain, sebab kalau terus beli sekali gus, banyak kos diperlukan,” katanya.

Tambah Mohamad Hasni lagi, disebabkan rumahnya berada di bahagian belakang, mereka beberapa kali terlepas untuk mendapatkan bantuan.

Hasni akan cuba membaiki peralatan elektrik selepas mencuci dan mengeringkan barangan berkenaan.

Namun katanya, mereka masih dibekalkan makanan oleh rider sepanjang giat mencuci rumah.

Pada Jumaat, kediaman Mohamad Hasni, ibu bapanya dan kejiranan di Taman Sri Nanding dibantu JAM Kedah dalam kerja-kerja pembersihan di dalam rumah mereka. – HARAKAHDAILY 28/12/2021

- Advertisement -