Pekerja ladang hilang selepas redah air ditemukan maut

- Advertisement -

KUANTAN: Pekerja ladang Che Rustam Che Su yang dilaporkan hilang selepas didakwa terjatuh daripada motosikalnya semasa meredah air di ladang kelapa sawit Felda Chini 2, Pekan pagi tadi, ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat lemas petang ini.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata Che Rustam, 36, ditemukan tidak jauh dari lokasi dia dikatakan terjatuh semasa meredah air melimpah setinggi lima meter di laluan rendah di ladang tersebut pada 3.40 petang tadi.

- Advertisement -

Mangsa dikatakan ke ladang itu pada 9 pagi bersama bapa dan abangnya dengan menunggang motosikal berasingan bagi mengambil buah sawit.

“Abang mangsa mendakwa melihat mangsa tenggelam dan terkapai-kapai selepas terjatuh kerana difahamkan dia tidak pandai berenang.

“Kejadian dipercayai berlaku kerana mangsa tidak menyangka laluan itu dinaiki air agak dalam kesan daripada hujan sejak beberapa hari lepas,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zaidi berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.

Selain polis, operasi mencari dan menyelamat turut melibatkan bomba termasuk Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Pekan. – BERNAMA

- Advertisement -