Kaunselor beri khidmat nasihat mangsa banjir trauma

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

RANTAU PANJANG:
Kaunselor Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diarah memberi khidmat nasihat kepada mangsa banjir yang mengalami trauma.

Timbalan Menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, usaha itu digerak melalui Majlis Kaunseling Negara dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Katanya langkah tersebut dilakukan bagi memastikan gangguan emosi dan perasaan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan dapat diatasi.

- Advertisement -

“Majlis Kaunseling Negara mempunyai ribuan kaunselor yang digerakkan ke seluruh kawasan banjir dan PPS untuk memberi nasihat.

“Malah bukan itu sahaja kita juga meminta kaunselor Kementerian Pendidikan Malaysia digerak untuk bersama-sama memberi bantuan kepada mangsa banjir yang trauma,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan banjir kepada penduduk yang terjejas di Kampung Lubok Gong dan Kampung Tok Deh hari ini.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, beliau tidak menafikan ramai mangsa mengalami gangguan perasaan dan emosi kerana kediaman dan harta benda rosak akibat banjir.

“Banjir di Selangor di luar jangkaan kita sebab ia jarang berlaku, jadi saya faham apa yang dihadapi mangsa, berbeza dengan penduduk di Kelantan, Terengganu dan Pahang, mereka sudah biasa.

“Saya berharap mangsa agar banyak bersabar sebab tidak akan berlaku sesuatu bencana melainkan dengan izin Allah, apa yang berlaku ini adalah ujian kepada kita semua,” ujarnya.

Menurutnya kebiasaannya hujung tahun banjir hanya tertumpu di Pantai Timur sahaja. – HARAKAHDAILY 23/12/2021

- Advertisement -