Guna besen plastik pindah bayi ke tempat selamat

- Advertisement -

Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD

SUNGAI BULOH: Seorang bayi antara 30 mangsa banjir di Kubu Gajah 1 dekat sini diselamatkan anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Sungai Buloh.

Menceritakan kejadian yang berlaku pada Sabtu kira-kira jam 3 pagi, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Sungai Buloh, Siti Rohaya Ahad (foto) berkata, keadaan mencemaskan itu terjadi apabila penduduk meminta pertolongan JAM selepas bimbang dengan situasi banjir yang semakin memburuk.

- Advertisement -

“Mereka tak dapat nak selamatkan semua pada malam itu, kerana satu-satunya bot yang dimiliki JAM Kawasan Sungai Buloh kipasnya rosak akibat dipukul arus deras banjir semasa melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Paling kritikal ketika itu nak selamatkan bayi,” kata Siti Rohaya.

Siti Rohaya menceritakan detik cemas JAM Kawasan Sungai Buloh selamatkan bayi pada awal pagi kejadian kira-kira jam 3 pagi, Sabtu.

Ujarnya, anggota JAM terpaksa menggunakan besen merah yang diikat dengan tali untuk membawa bayi terbabit mengharungi arus air banjir supaya dibawa ke tempat yang lebih selamat.

Mengulas lanjut kata Siti Rohaya, anggota JAM Kawasan Sungai Buloh antara yang terawal tiba di lokasi kejadian banjir yang tidak diduga itu.

Dia dan anggota Muslimat PAS Kawasan Sungai Buloh, pada malam itu sedang menyediakan makanan untuk mangsa banjir.

“Pada awalnya, penduduk sangkakan paras air akan surut menyebabkan ada yang mengambil keputusan untuk tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Namun, air semakin naik hingga ke paras bahaya menyebabkan penduduk tiada pilihan melainkan terpaksa berpindah,” ujar Siti Rohaya yang ditemui Harakahdaily di PASTI Little Muslim, Desa Subang dekat sini, semalam.

Ujar Siti Rohaya, walaupun bot rosak, anggota JAM yang terkenal dengan gelaran ‘semut merah’ tidak berputus asa untuk selamatkan mangsa banjir yang terperangkap pada malam itu.

“Mereka ikat tali pada besen itu untuk menyeberang arus banjir yang agak deras pada ketika itu,” ceritanya.

Detik cemas itu sempat dirakam oleh seseorang yang berada di tempat kejadian memaparkan seorang bayi sedang menangis dibaringkan di dalam besen merah yang dipaut kuat oleh dua lelaki. Manakala seorang lagi berjalan di hadapan menarik tali yang diikat pada besen terbabit.

Video berdurasi tiga saat itu dikongsikan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad di Facebooknya pada jam 4 pagi untuk dihebahkan bantuan segera kerana beliau sudah buntu selepas APM dan talian 999 tidak dapat dihubungi.

Siti Rohaya berkata, dia dan anggota Muslimat lain turut menggunakan khidmat anggota JAM untuk mengedarkan makanan dari rumah ke rumah yang ditenggelami air banjir sejak Sabtu.

“Di kawasan yang terputus hubungan, kami gunakan khidmat JAM supaya dapat edarkan bantuan makanan ke rumah mangsa banjir yang terlibat.

“Pada malam sebelum kejadian, kami tak masak tetapi pesan makanan di kedai makan yang masih dibuka pada malam itu,” ujar Siti Rohaya.

Kata Siti Rohaya, anggota Muslimat setakat ini memasak, membungkus dan mengedarkan makanan pagi, tengah hari dan makan malam untuk mangsa banjir membabitkan Kampung Kubu Gajah, Kampung Merbau Sempak dan Kampung Melayu Subang.

Pihaknya juga membuka booth pakaian di PASTI Little Muslim untuk mengumpulkan sumbangan pakaian terpakai daripada orang ramai.

“Kita kumpulkan, asingkan dan siap seterika pakaian sebelum diedarkan kepada mangsa banjir,” katanya.

Kata Siti Rohaya, sumbangan wang tunai setakat ini yang berjaya diperoleh dari PAS Kawasan mencecah RM11,000 manakala dari Dewan Muslimat terkumpul RM4,000.

Sehubungan itu, dia berharap lebih ramai yang menyumbang supaya pihaknya dapat menyediakan barangan elektrik seperti periuk nasi, dapur memasak dan barangan makanan untuk keperluan mangsa banjir apabila mereka sudah pulang untuk membersihkan rumah masing-masing. – HARAKAHDAILY 23/12/2021

- Advertisement -