Banjir: Agensi Kerajaan Kedah sedia bantu Selangor

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Semua agensi Kerajaan Negeri Kedah bersedia menghulurkan bantuan membantu Selangor yang terjejas teruk akibat bencana banjir bermula 25 Disember ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beberapa agensi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) akan bersama sukarelawan Khidmat Malaysia Kedah memulakan tugas di beberapa lokasi yang ditentukan nanti.

- Advertisement -

“Pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor akan tentukan serta menyusun di mana lokasi sukarelawan dan agensi-agensi ini akan bertugas pada 25 Disember ini,” katanya menerusi pautan di laman sosial beliau hari ini.

Menurutnya, dijangka Kedah akan menghantar khidmat sukarelawan antara 150 hingga 200 orang untuk menjayakan misi bantuan tersebut.

Jelasnya lagi, beberapa petugas bersama aset PBT juga telah bergerak ke beberapa lokasi yang disusun atur di bawah PBT Negeri Selangor.

“Sukarelawan yang berhasrat menyumbangkan tenaga dalam misi bantuan ke Selangor boleh menghubungi Setiausaha Politik Menteri Besar, Ustaz Afnan Hamimi atau Pegawai Khas Menteri Besar, Ustaz Nurul Amin, untuk maklumat lanjut,” tambah beliau.

Sebelum ini Sanusi juga telah mengumumkan sumbangan khas kerajaan negeri sebanyak RM200,000 akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk meringankan bebanan musibah banjir yang menimpa negeri berkenaan. – HARAKAHDAILY 22/12/2021

- Advertisement -