Pegawai PASTI Perak meninggal dunia

- Advertisement -

IPOH: Setiausaha Kerja PASTI Negeri Perak, Ridzuan Rashid, 50 yang dimasukkan ke hospital sejak 29 November lalu telah kembali ke rahmatullah di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini kelmarin dulu.

- Advertisement -

Almarhum Ridzuan telah banyak berjasa kepada Pemuda PAS Perak daripada usia muda sehingga kini dan menyumbang khidmatnya kepada institusi pendidikan khususnya PASTI Negeri Perak.

Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri menerusi hantaran di Facebook beliau menyifatkan pemergian Ridzuan merupakan kehilangan besar kepada Dewan Pemuda PAS Perak khususnya.

“Perginya Almarhum dalam keadaan jasa dan baktinya dicurahkan sepenuhnya buat PASTI Negeri Perak khususnya.

“Tenanglah dirimu di sisi Allah S.W.T (dan mudah-mudahan) kita (dapat) berjumpa ‘di sana’ (syurga) nanti, insya-Allah,” ujar beliau.

Sebagai rekod Almarhum Ridzuan juga pernah menjawat sebagai Ketua Bahagian Penaziran PASTI Malaysia, Exco Pemuda PAS Perak, Ketua Pemuda PAS Kawasan Kampar dan Ahli Jawatankuasa PAS Kampar.

Pengarah Jabatan PASTI Perak, Luqman Khairi memaklumkan, Almarhum telah berkhidmat sebagai Setiausaha Kerja PASTI Perak bermula tahun 2008 hingga kini dan menguruskan PASTI Ar Ridzuan di peringkat negeri.

Jenazah dibawa pulang ke rumahnya dan solat jenazah didirikan di Surau Taman Bina Jaya serta jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang Sekah, Kampar. – HARAKAHDAILY 21/12/2021

- Advertisement -