Memperanankan lebih utama daripada penubuhannya

- Advertisement -

TEBRAU: Dewan Ulamak PAS Kawasan Tebrau yang diluluskan penubuhannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) telah mengadakan mesyuarat agung sulung di Pejabat PAS Kawasan Tebrau, di sini kelmarin dulu. 

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Khirul Muntanazar Ismail, juga merupakan Yang Dipertua PAS Tebrau telah menyempurnakan perasmian mesyuarat yang dijalankan secara bersemuka tersebut.

- Advertisement -

Di dalam ucapan perasmian penutup yang penuh bersejarah tersebut, Ustaz Khirul menekankan tugas Dewan Ulamak untuk memainkan peranan yang sangat penting dalam masyarakat secara amnya dan mengukuhkan PAS Kawasan khususnya.

“Memperanankan Dewan Ulamak itu jauh lebih penting daripada penubuhannya,” ujar Ustaz Khirul di permulaan ucapan beliau pada mesyuarat yang dihadiri 25 anggota itu.

Beliau turut menggariskan tiga perkara penting perlu diambil perhatian serius oleh seluruh kepimpinan dan ahli Dewan Ulamak iaitu pengukuhan organisasi dan pembinaan pelapis yang bakal meneruskan tugas menyampaikan risalah Islam.

“Juga memfokuskan gerak kerja pilihan raya terhadap pengundi 18 tahun. Uniknya di Tebrau, Dewan Ulamak digerakkan oleh amilin Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat, oleh itu salinglah bantu dan mengukuhkan antara satu sama lain. 

“Pertolongan Allah itu datang dengan kesungguhan dan keikhlasan, bukan dengan ramainya ahli tetapi tidak berkualiti,” pesan Ustaz Khirul buat semua ahli mesyuarat.

Terdahulu, mesyuarat agung tersebut sepakat meluluskan satu usul dibawa oleh Ketua Ulamak PAS Tebrau, Ustaz Dr Mohd Muslim Salleh berkenaan pindaan enakmen pentadbiran agama Islam Negeri Johor dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah berkaitan Faraid.

Dalam pemilihan diadakan secara syura telah melantik Ustaz Kamal Arif Mohd Bakri sebagai Timbalan dan Ustaz Muhammad Faiz Khalid sebagai Naib Ketua Ulamak PAS Tebrau bagi sesi 2021-2023.

Mesyuarat Agung Dewan Ulamak PAS Tebrau ini juga merupakan antara tujuh Kawasan seluruh Johor yang turut mengadakan Mesyuarat Agung Dewan Ulamak kali pertama serentak kelmarin dulu. – HARAKAHDAILY 21/12/2021

- Advertisement -