PAS Perak gerak bantuan banjir ke negeri-negeri

- Advertisement -

IPOH: PAS Negeri Perak menyahut arahan daripada PAS Pusat supaya menggerakkan khidmat ke negeri-negeri yang dilanda banjir dan membantu mangsa terjejas akibat bencana melanda tersebut semampu mungkin.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, dalam menghadapi musibah banjir, usaha dan kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi menjamin kebajikan mangsa terpelihara dengan baik tanpa ada mana-mana pihak tercicir. 

- Advertisement -

“Pak Teh menyeru jentera PAS di seluruh peringkat bersiap mengerahkan keringat dan tenaga turun padang menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Insya-Allah mobilisasi dan pengarahan selanjutnya dikeluarkan dari semasa ke semasa. 

“Kita membantu meringankan beban mangsa banjir melalui kerja-kerja pembersihan yang akan dijalankan nanti,” ujarnya yang mesra dengan panggilan Pak Teh.

Bukan itu sahaja, Razman yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Perak turut mengajak semua pihak untuk bersatu-padu dan terus fokus kepada agenda perpaduan dan kebajikan rakyat dalam menghadapi musibah banjir ini. 

Jelasnya, dalam situasi negara berhadapan ujian ini, maka masing-masing perlu memainkan peranan tersendiri tidak kira sama ada bagi golongan pemimpin, NGO, para dermawan mahupun rakyat jelata. 

“Musibah adalah ruang untuk kita bermuhasabah. Dalam masa yang sama, inilah waktu untuk memperkukuh masyarakat penyayang, sekali gus memantapkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia. 

“Ia amat selari dengan gagasan Keluarga Malaysia untuk melahirkan masyarakat penyayang. Masing-masing mengamalkan konsep kehidupan harmoni dan sejahtera. Oleh itu, amat wajarlah kita terus membantu mangsa banjir kerana mereka juga adalah sebahagian ahli keluarga kita,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/12/2021

- Advertisement -