PAS sumbang barangan bantu masjid gerak Dapur Rakyat

- Advertisement -

TEMERLOH: PAS Kawasan Temerloh telah menggerakkan bantuan banjir menerusi sumbangan barang mentah kepada pihak masjid di Sungai Kepong, Kampung Bongsu, Kampung Rantau Panjang dan Kampung Dala, di sini.

Yang Dipertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus mengetuai misi tersebut bagi memastikan penyediaan makanan kepada penduduk dan musafir yang terkepung menjadi mangsa banjir di sekitar masjid dapat dibantu.

- Advertisement -

Pimpinan PAS Temerloh yang turut bersama beliau adalah Pengerusi Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) , Rosli Mokhtar dan Ketua Pemuda, Ustaz Muhammad Shukri Shuib dan Pengarah Jabatan Amal, Ustaz Safwan Akmal Mohd Nor.

Menurut Ketua Penerangan PAS Temerloh, Ustaz Fairuz Hisham Nordin berkata, musibah banjir kali ini sangat menguji kecerdasan minda dan fizikal apabila air naik sangat cepat dan tidak disangka-sangka. 

“Terutama di Lanchang kerana terkepung seluruh laluan jalan raya termasuk lebuh raya. Daripada Mentakab menuju Lanchang, ada tujuh laluan terdekat yang sangat menyukarkan misi bantuan makanan kerana dipisahkan dengan air dan darat berselang seli.

“Misi PAS Temerloh adalah menyerahkan barang mentah kepada pihak masjid yang membuka Dapur Rakyat untuk menyediakan makanan siap masak kepada penduduk yang terkepung dan musafir yang terkandas.

“Oleh kerana laluan jalanraya yang terputus dengan air dan darat bermula BHP Batu 3, misi terpaksa menukar pelan B iaitu melalui jalan hutan dengan kerjasama anggota tentera Batu 7,” ujarnya.

Cerita beliau, walaupun diuji dengan cabaran laluan dan rintangan sepanjang perjalanan yang mengambil masa satu jam tersebut, misi tetap diteruskan sehingga ke sempadan Kemasul, namun, sekali lagi misi diuji dengan halangan

Beritahunya, air yang telah naik sehingga ke paras dada menyebabkan rombongan terpaksa berundur kembali ke BHP untuk pelan C di mana meminta wakil Masjid Sungai Kepong datang dengan beberapa bot.

“(Mereka) melalui jalan ladang untuk mengangkut dan mengagih kepada masjid-masjid lain. Sebelum ini belum ada laluan dalam yang dikenal pasti. Alhamdulillah, sebanyak empat bot tiba di BHP setelah lebih satu jam melalui laluan air di ladang sawit yang sangat mencabar,” hargainya.

Md Darus dalam pada itu memuji masjid yang berperanan sebagai pusat bantuan dan rujukan ketika musibah ini di mana berharap ia diikuti masjid-masjid lain, bukan sahaja untuk masyarakat Muslim, tetapi kepada semua mangsa.

“Ramai juga mereka yang terkandas itu dalam kalangan orang bukan-Islam yang perlu kita beri perlindungan dan makanan di masjid,” sarannya.

Imam Masjid Sungai Kepong, Ustaz Sharif Yusof menyifatkan banjir kali ini sangat luar biasa di mana Pekan Lanchang telah menjadi pulau dengan sekelip mata setelah dinaiki air daripada hujan yang turun beberapa hari.

“Pada hari pertama, pihak masjid masih mampu menyediakan makanan siap dimasak untuk dijamu kepada mereka yang terkandas. Namun, bahan terputus kerana penambahan bilangan mangsa banjir yang menumpang di masjid.

Alhamdulillah, terima kasih kepada pihak PAS Temerloh kerana bertindak segera menyalurkan bantuan bekalan bahan mentah termasuk gas memasak untuk kemudahan kami,” ujarnya.

Para dermawan juga boleh membantu dengan menyumbang kewangan menerusi akaun BIMB 06028010003454 atas nama PAS Kawasan Temerloh. – HARAKAHDAILY 21/12/2021

- Advertisement -