Beserah dilanda ribut, ADUN usahakan bantuan

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Ribut telah merosakkan struktur atap 30 rumah dan menyebabkan pokok tumbang selain menyebabkan kecederaan mangsa akibat tersepit di mana terpaksa dikejarkan ke hospital, semalam.

ADUN Beserah, Andansura Rabu bagaimanapun segera meninjau bersama para pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke Kampung Selamat, Balok, Chengal Lempong, Sungai Karangan dan sekitar Beserah.

- Advertisement -

Beliau mendapati, kerosakan kediaman melibatkan 75 peratus kediaman yang rosak akibat dihempap pokok, manakala kerosakan kecil melibatkan atap tercabut pada sebahagian kecil struktur bumbung.

“Sebahagian darinya sudah dibaik pulih, manakala sebahagian lagi masih belum dibaiki atas beberapa kekangan. Kita telah menasihatkan mereka yang terlibat supaya membuat laporan polis. 

“Semua mereka telah melakukannya dan kita telah mendaftarkan mereka sebagai penerima bantuan dari tabung dana bencana daerah dan juga negeri,” ujar beliau memberitahu masih terdapat belum berbuat demikian.

Tambah beliau, pihak kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan, manakala pihak Pusat Zakat juga akan dihubungi bagi membantu memberikan sumbangan meringankan bebanan mereka yang terkesan. 

“Sedikit sumbangan segera sudah disampaikan daripada agensi-agensi berkaitan dan bantuan susulan akan menyusul kemudian, kita akan cuba percepatkan proses bantuan tersebut.

“Saya sangat menghargai sahabat-sahabat petugas dan sukarelawan Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia atas kerja keras membantu menangani kesan-kesan bencana sejak dari awal musibah melanda tiga hari lalu. 

“Juga semua Tok Empat dan wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di atas daya usaha mereka mengumpulkan butiran mangsa-mangsa dan membawa kami bertemu mereka” katanya lagi. 

Beliau seterusnya mengharapkan agar komitmen kepada masyarakat akan berterusan dan amal bakti yang dicurahkan membawa ganjaran yang berpanjangan di sisi Allah S.W.T. – HARAKAHDAILY 21/12/2021

- Advertisement -