Hujan tak halang penduduk serbu Jualan Keluarga Malaysia

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Program Jualan Keluarga Malaysia (PKJM) yang diadakan di Tapak Pasar Malam Pauh, di sini semalam mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk tempatan.

Biarpun hujan renyai-renyai, namun ia tidak menghalang orang ramai hadir bagi mendapat keperluan harian dengan harga lebih murah.

Adun Sanglang Mohd Shukri Ramli berkata, walaupun dalam keadaan hujan renyai-renyai, namun ia tidak menghalang orang ramai hadir membeli barangan keperluan.

- Advertisement -

“Apa yang kita harapkan rakyat dapat menikmati jualan barangan harian dengan harga yang lebih murah,” katanya ketika ditemui semasa meninjau jualan tersebut.

Hadir sama Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim, Adun Tambun Tulang Dato’ Ismail Kassim dan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Perlis, Norazah Jaapar.

Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis berkata, lawatan tersebut bertujuan meninjau pelaksanaan program berkenaan, di samping mendapat gambaran mengenai sambutan masyarakat.

Ketika tinjauan Harakahdaily kelihatan orang ramai berpusu-pusu memasuki tapak program berkenaan di Tapak Pasar Malam Pauh.

PKJM dilancarkan Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri pada 2 Disember lepas bertujuan membantu rakyat yang terbeban akibat kenaikan harga barang keperluan harian kebelakangan ini.

Menerusi program itu pengguna akan mempunyai pelbagai pilihan dan dapat membeli barangan keperluan harian harga sehingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

PKJM diadakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Kewangan.

Program itu dirancang dilaksanakan dua kali sebulan dalam tempoh tiga bulan bermula 4 Disember hingga Mac 2021, merangkumi kesemua 222 kawasan Parlimen di negara ini. – HARAKAHDAILY 20/12/2021

- Advertisement -