Dapur It’am untuk mangsa banjir

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyediakan makanan melalui Program Dapur It’am untuk mangsa banjir.

Menterinya, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata projek Dapur It’am sedia mengedarkan makanan kepada mangsa-mangsa banjir terutama yang berada di sekitar wilayah dan berhampiran dengannya.

“Kita juga menyediakan peralatan untuk beribadah serta peralatan cuci kepada mangsa banjir.

“Selain itu, bantuan barang-barang keperluan asas juga turut disediakan,” katanya selepas melawat mangsa banjir di Masjid Al-Hidayah Kampung Sungai Penchala di sini, petang tadi.

Beliau bergegas ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) itu selepas pulang dari sesi penggulungan di Dewan Negara, hari ini.

- Advertisement -

Idris dalam ucapannya meluahkan rasa sedih dan simpati dengan apa yang menimpa kepada mangsa banjir namun katanya, setiap hamba yang beriman diajar untuk menerima ketentuan yang telah ditetapkan.

“Kita orang-orang yang beriman diajar untuk menerima apa yang Allah SWT berikan ujian kepada kita.

“Islam juga mengajar kita, waktu kawan kita mengalami kesusahan maka kita perlu ingat kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, Allah SWT sentiasa membantu hamba-Nya, selagi hamba-Nya membantu sesama manusia.

“Kita sebagai kerajaan di bawah Islam JAWI, JAKIM, Yayasan TAQWA, insyallah kita akan fikirkan barang-barang dan kemampuan yang ada pada kita sedikit sebanyak untuk membantu selepas pasca daripada banjir ini.

“Kita tidak boleh bagi banyak, kita bagi sedikit sebagai tanda ingatan, tanda kasih sayang, di kalangan kita sesama kita,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih terutamanya kepada pihak masjid yang telah memberikan penempatan dan keselesaan kepada mangsa banjir.

“Saya juga ingin berpesan kepada ibu bapa semua, sepanjang kita berada di sini, Allah SWT tempatkan kita di tempat yang baik, kita harapkan setiap waktu pergilah solat berjemaah di masjid sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT.

“Kedua jagalah pergaulan dalam kalangan kita antara lelaki dan perempuan supaya tidak berlaku percampuran yang dilarang oleh agama kita.

“Ketiga jaga SOP, kita dapat memelihara dari wabak Covid-19 yang masih berleluasa terutamanya varian Omicron. Seterusnya bantulah saudara dalam kalangan kita ada yang sakit dan sebagainya,” katanya.

Idris turut menyampaikan sumbangan kepada Majlis Perwakilan Penduduk Kampung Sungai Penchala (MPP), Ustaz Ali Jaafar dan dua wakil pengerusi masjid di Kampung Penchala.

Beliau turut bergambar dengan pasukan barisan hadapan yang bertugas di PPS berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Ajib Ismail; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim; Pengerusi Ahli Jawakuasa Kariah Masjid Al-Hidayah Kampung Sungai Penchala, Che Mohd Zulkiffli Awang; Pegawai Tadbir Agama Zon 6, Ustaz Mohd Faizul Mohd Razali.

Idris turut menyantuni sendiri mangsa banjir dan bertanya khabar mengenai situasi yang dihadapi.

Seorang mangsa banjir, Nur Syafiqah, 27, berkongsi detik cemas kejadian rumah satu bumbung tiga pintu yang diduduki bersama ahli keluarga runtuh dalam sekelip mata.

Beliau yang tinggal bertiga bersama suami dan seorang anak yang berumur lapan bulan, berkata kejadian berlaku selepas hujan tiga hari tanpa henti.

“Pada malam itu selepas magrib dekat belakang rumah ada runtuhan tanah, daripada situ suami pergi cek dekat belakang.

“Tidak lama lepas tu, air sudah mula masuk dalam rumah, pada permulaannya sedikit sahaja, lama-lama sudah jadi macam air sungai, laju. Masa itu sudah ada tanda-tanda, ada retak dekat dinding dan lantai mozek sudah merekah.

“Sebelum keluar daripada rumah, kami sempat ambil benda penting, terus keluar. Tidak lama kami keluar, terus roboh,” katanya.

Nur Syafiqah yang tinggal di kawasan tersebut sejak dari kecil berkata sebelum ini tidak pernah berlaku banjir seteruk ini.

“Tanah runtuh pun tidak seteruk macam ini. Sebelum ini ada sikit. Mereka kata sudah buat balik, dan kembali normal, tetapi kali ini memang memberi kesan kepada banyak rumah,” katanya tujuh rumah terjejas akibat runtuhan tanah berkenaan.

Bercerita lanjut, katanya seorang mangsa yang tidak sempat melarikan diri ketika kejadian tersebut tersepit di bawah runtuhan bagaimanapun ia dapat diselamatkan.

“Selepas diselamatkan orang ramai, mangsa dibawa ke tempat selamat dan menunggu ambulan datang,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menzahirkan rasa syukur diberikan tempat berlindung yang selesa kepada 18 orang keluarganya.

“Walaupun duduk di masjid sekurang-kurangnya ada tempat berteduh sebab ada anak kecilkan. Bersyukur sangat-sangat walaupun sementara. Selesa pun selesa, yang duduk sini pun semua keluarga.

“Kita harapkan boleh bantu meringankan beban apa yang patut, buat masa sekarang tempat tinggal totally lost.

“Kita dapat bantuan macam susu anak memang ada. Alhamdulillah. Cuma sekarang kami tengah usahakan untuk cari rumah buat sementara ini kita akan duduk satu keluarga yang besar,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/12/2021

- Advertisement -