Banjir: PAS Melaka mula gerak pasukan pembersihan

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE | Foto ABU ANAS

MASJID TANAH:
Badan Perhubungan PAS Melaka akan menghantar pasukan bagi membantu membersihkan rumah-rumah penduduk di Lubok China yang terjejas banjir bermula hari ini.

Pesuruhjayanya, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, pasukan itu terdiri daripada anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) negeri dan beberapa organisasi lain di bawah PAS yang diselaraskan oleh Khidmat Malaysia.

“Dan kita juga telah lancarkan tabung bantuan untuk mangsa banjir ini. Insya-Allah melalui tabung ini kita akan memberikan bantuan yang termampu sebagai sumbangan daripada PAS Melaka, insya-Allah,” ujar beliau.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika mengadakan lawatan bersama dengan pasukan Pusat Khidmat Parlimen Masjid Tanah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Lubok China di sini, tengah hari tadi.

Beliau turut berharap agar mangsa-mangsa banjir menguatkan kesabaran dalam berdepan dengan ujian yang berat itu.

“Sebagai golongan yang beriman kita memang akan sentiasa diuji oleh Allah SWT dengan ujian-ujian yang akan meningkatkan iman kita dan kedudukan kita di sisi Allah SWT apabila kita melalui ujian ini dengan sabar dan dengan sangkaan yang baik pada Allah SWT.

“Kita berharap ujian ini dapat ditempuh dengan baik dan insya-Allah keadaan akan kembali normal dengan pertolongan Allah SWT,” ujarnya lagi.

Turut bersama dalam lawatan itu ialah Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Melaka, Bakri Jamaluddin, Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman, Setiausaha Sulit kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Norihan Bahari, Pengerusi Tetap Bersatu Cawangan Lubok China, Dr Nordina Abdul Latif, serta beberapa orang pimpinan PAS dan Bersatu tempatan.

Sementara itu Penolong Pegawai Kebajikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Alor Gajah, Azmiza Azmi, 37, berkata, terdapat aktiviti-aktiviti pengisian yang akan dilakukan untuk mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS terutama melibatkan golongan kanak-kanak

“Program-program itu di bawah JKM di bawah kaunselor kami untuk buat aktiviti bagi mangsa-mangsa banjir terutama kanak-kanak sebagai pengisian untuk mengelakan mereka bosan.

“Kebanyakan program-program lebih kepada permainan yang boleh menceriakan mereka untuk mengisi masa yang terluang di pusat ini,” ujar beliau.

Beliau yang juga Ketua PPS SMK Lubok China itu berkata, terdapat sembilan PPS telah dibuka di dalam daerah Alor Gajah.

“Daripada sembilan PPS tu, tiga daripadanya ialah di dalam Parlimen Masjid Tanah. Kita ada di Paya Lebar, Lubuk China dengan Kampung Jeram.

“Jumlah terkumpul keseluruhan mangsa yang ditempatkan di PPS Lubok China semenjak pusat ini dibuka ialah seramai 97 mangsa melibatkan 29 keluarga,” ujar beliau.

Kawasan Lubok China yang terletak di dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah adalah antara kawasan yang paling teruk terjejas di dalam negeri Melaka dalam kejadian banjir akibat hujan lebat yang berlaku di banyak negeri di Malaysia bermula Jumaat hingga Sabtu lepas. – HARAKAHDAILY 20/12/2021

- Advertisement -