Penggunaan teknologi bantu kurang kos pertanian

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KUALA TERENGGANU:
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedia membantu bagi penurunan kos pengeluaran produk pertanian melalui penggunaan teknologi baharu.

Timbalan MOSTI, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, isu-isu yang berkait dengan penggunaan baja dan racun yang semakin meningkat menjadikan kos pengeluaran produk pertanian naik.

“MOSTI banyak membantu dalam aspek penurunan kos pengeluaran produk pertanian melalui penggunaan teknologi. Ini tentulah tidak dapat dilihat dalam tempoh segera.

“Saya lihat kementerian lain seperti MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil segala langkah yang perlu.

- Advertisement -

“Di peringkat MOSTI sekarang beberapa kajian dilaksanakan bagaimana penggunaan baja yang menggunakan baja Nano Teknologi. Dia (nano) tidak menggunakan kuantiti (baja) yang banyak, mungkin harganya mahal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya sempena Hari Bertemu Rakyat di Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di perkarangan hadapan Muzium Negeri, Bukit Losong, di sini, hari ini.

Hadir sama pada program itu, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia, dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Syed Ali Al-Idrus

Menurut Amzad, penggunaan Nano Teknologi secara keseluruhannya menjadikan kos lebih murah tetapi perlu mengambil masa yang lebih lama sebelum diterima sepenuhnya.

“Begitu juga memperkenalkan vareati pertanian menggunakan teknologi baharu misalnya pelancaran beras IS21. Jadi beras IS21 boleh meningkatkan pengeluaran untuk setiap hektar tanaman padi.

“Jika sebelum ini, kita (petani) dapat tiga tan setiap ekar tapi (IS21) dapat ditingkatkan tiga kali ganda dan lebih tahan penyakit, kurang (guna) baja, kurang air dan sebagainya. Ini dapat membantu menurunkan kos,” jelasnya.

Selain itu, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu kaedah-kaedah lain termasuk penggunaan teknologi angkasa dalam membantu pengesanan kawasan ikan dan lain-lain.

“Jadi, ini boleh membantu untuk melihat impak dari segi (masa) terdekat pengenalan teknologi, sudah tentu memerlukan perancangan yang melibatkan kerjasama semua pihak,” ujarnya.

Sempena PJKM kata Amzad berkata, pengurangan harga barangan sehingga 20 peratus lebih murah berbanding dengan harga biasa di pasar-pasar mahu pun di kedai.

“Penduduk di Parlimen Kuala Terengganu tidak terkecuali berdepan masalah harga barang naik dan sebagainya, dengan adanya Program Juala Keluarga Malaysia (PJKM) dapat membantu orang ramai

“Pengurangan harga hingga 20 peratus jauh lebih murah berbanding di pasar, kedai. Terima kasih FAMA, Jabatan Pertanian, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Persatuan Nelayan Kebangsaan, Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC), Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Setiu, Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (PENENTU) dan Jabatan Penerangan,” ujarnya.

Katanya, pada 4 Disember lalu PJKM dilaksanakan di Parlimen Hulu Terengganu dan hari ini diadakan serentak di kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Kemaman, Dungun, Marang, Setiu dan Besut. – HARAKAHDAILY 18/12/2021

- Advertisement -