Normalisasi budaya barat ke atas Dunia Islam

Donald Trump
- Advertisement -

PADA era Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat, perkataan normalisasi begitu kerap diperkatakan. Ia sebenarnya adalah satu strategi politik Amerika Syarikat untuk memaksa negara-negara Dunia Islam mengiktiraf negara haram Israel dengan menganggap mana-mana negara yang mengadakan hubungan dengannya adalah normal.

Normalisasi ini adalah sebahagian daripada konsep liberalisasi yang berasaskan fahaman sekularisme yang menjadi teras kepada Barat sejak sekian lama. Ia dieksport ke Dunia Islam melalui agenda Al-Ghazw Al-Fikri (Perang Pemikiran) yang datang seiring dengan penjajahan Barat ke atas Dunia Islam sehingga menatijahkan kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniyyah dan bermulanya era perpecahan dan kelemahan Dunia Islam sehingga ke hari ini.

Imam Abu Zuhrah dalam satu bukunya menyimpulkan situasi ini berlaku dalam tiga segmen; politik dengan ideologi demokrasi, ekonomi dengan ideologi sosialisma dan kapitalisma serta kemasyarakatan dengan ideologi kebebasan dan kesamarataan.

- Advertisement -

Maka berlakulah amaran sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW bahawa simpulan ajaran Islam akan dirungkai satu persatu, setiap kali satu simpulan dirungkai maka orang akan berpaut dengan simpulan yang berikutnya.

Simpulan pertama yang dirungkai ialah peraturan yang mengurus kehidupan manusia seperti politik, ekonomi, undang-undang kekeluargaan, jenayah dan lain-lain lagi. Adapun simpulan terakhir ialah solat iaitu apabila hampir tibanya berlaku qiamat.

Natijahnya telah wujud di kalangan umat Islam dengan beraninya menolak amalam dan hukum Islam di atas nama kebebasan yang kononnya membebaskan manusia daripada kongkongan dan kepungan anutan agama.

Melihat kepada fenomena liberalisasi budaya Barat yang berlaku di seluruh dunia pada hari ini, bolehlah dikatakan Barat seolah-olah memaksa masyarakat dunia khususnya Dunia Islam untuk menerimanya serta menganggap ianya adalah perkara biasa dan normal.

Penerimaan budaya liberalisasi secara paksaan tersebut sekali gus membuka jalan kepada pengiktirafan budaya yang songsang dari fitrah kemanusian seperti hubungan sejenis antara lelaki dan lelaki dan perempuan dengan perempuan, hedonisme (hiburan melampau), zina, persetubuhan luar tabii, menggugurkan kandungan dan lain-lain lagi.

Barat mahu masyarakat dunia menganggap budaya ini adalah normal, bukannya jelik dan keji walaupun ia jauh dari normal kewarasan manusia dan binatang yang tidak mempunyai akal fikiran. Hakikatnya inilah yang sedang melanda umat Islam mutakhir ini di mana ia menjadi kebimbangan yang begitu ketara khususnya kesan terhadap generasi muda.

Jika diteliti, kempen menormalisasi budaya Barat berlaku dalam dua kaedah iaitu ‘pull’ dan ‘push’. Kaedah menarik dijalankan melalui badan-badan antarabangsa dan media dalam pelbagai medium khususnya media sosial. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meletakkan beberapa teras di atas nama hak asasi manusia antaranya kebebasan dan kesamarataan sebagai asas untuk mengharuskan budaya Barat yang songsang ini.

Kedua-dua teras ini merangkumi aspek agama, pegangan, budaya dan cara hidup. Maka tidak pelik dan jelik di atas nama kebebasan dan kesamarataan, Barat menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada mana-mana pertubuhan di mana-mana negara yang memperjuangkan apa saja bentuk kebebasan dan kesamarataan termasuk perkahwinan sejenis dan seumpamanya.

Bukan sekadar itu sahaja, bahkan hak mereka dipertahankan jika terdapat ancaman. Lebih jauh daripada itu lagi, mana-mana pihak yang menentangnya akan dikenakan tindakan secara langsung atau tidak. Sebagai contoh jika terdapat kecaman di laman media sosial terhadap golongan ini, maka pemilik akaunnya akan disekat malah dinyah aktifkan daripada platform media sosial tersebut.

Kini saban tahun pertubuhan dan pergerakan yang menyokong golongan liberalisasi sebegini menganjurkan himpunan di serata dunia seperti Pride March di atas nama perjuangan hak asasi manusia dan kebebasan yang memperjuangkan hak kesamarataan, kebebasan jantina dan seumpamanya.

Perkara sebegini yang menjadi ‘taboo’ dan dijauhi oleh umat Islam telah mula berjangkit apabila anak-anak muda Islam baik lelaki mahupun wanita tanpa segan silu menyertai himpunan sebegini dan turut memperjuangkan apa yang dilontarkan oleh dunia Barat tanpa memikirkan agama dan larangan yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Agensi antarabangsa yang berada dibawah PBB seperti OHCHR (Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Untuk Hak Asasi Manusia), Human Rights Watch (HRW) dan beberapa lagi pertubuhan antarabangsa memberikan sokongan penuh terhadap penganjuran perarakan sebegini di samping turut memberikan desakan kepada negara-negara Dunia Islam supaya membuka ‘pintu’ kebebasan.

Pada 17 Jun 2011, United Nation Human Rights Council (HRC) telah menerima pakai resolusi pertamanya mengenai hak untuk golongan homoskesual dan transgender yang mana resolusi tersebut telah ditentang dan dikritik oleh negara anggota OIC yang terbabit dalam pengGubalannya. Maka disebabkan sokongan sebegitu sehingga ke hari ini, ia telah mula menjadi seperti satu ‘pandemik’ yang kian merebak dalam kalangan umat Islam.

Rentetan daripada itu, ia mendapat perhatian daripada tokoh-tokoh ilmuwan Dunia Islam. Baru-baru ini Syeikh Al-Azhar, Dr. Ahmad Al-Tayyib mengingatkan umat Islam akan cabaran baharu ini yang disifatkan oleh beliau sebagai ‘Penjajahan Bentuk Baharu’.

Dalam pertemuannya dengan beberapa wakil dari negara Barat, beliau mengingatkan bahawa Islam mendahului Barat dalam memperjuangkan kebebasan dan kesamarataan akan tetapi mengikut kacamata al-Quran dan fitrah kemanusian bukan sepertimana pemikiran Barat sebagaimana yang dinyatakan di atas.

Dalam masa yang sama, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi juga pernah menyebut dalam salah satu tulisannya tidak lama dahulu dengan menyifatkannya sebagai ‘Penjajahan Dari Sudut Istilah’. Almarhum Dr. Fathi Yakan pula pernah menyatakan kebimbangannya terhadap fenomena ini dalam bukunya Al-‘Aulamah (globalisasi).

Sebenarnya budaya songsang yang menjadi cara hidup masyarakat Barat adalah manifestasi fahaman sekularisme yang menjadi pegangan mereka. Fahaman inilah yang melahirkan masyarakat Barat memerangi agama atau meninggalkan agama sebagai cara hidup dengan alasan ia menghalang kemajuan dan kebebasan.

Namun begitu, perlu difahami bahawa umat Islam tidak seharusnya menuding jari ke arah Barat semata-mata, mereka juga sewajarnya perlu melihat kepada diri mereka sendiri yang dilanda dengan kelemahan iman dengan tidak mempraktikkan ajaran, suruhan dan tegahan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Sebelum tersasar dengan lebih jauh, contoh yang paling baik untuk teladan kepada umat Islam ialah dengan melihat apa yang berlaku di dunia Barat itu sendiri. Ia tidak seindah sebagaimana yang dipaparkan di kaca televisyen bahkan menjadi bahana dan malapetaka seperti tidak mampu dikawal lagi.

Tidak ada lagi perasaan malu sehingga bertelanjang dianggap sebagai satu kemajuan sedangkan menutup aurat dianggap sebagai kolot. Keruntuhan sistem kekeluargaan sehingga khianat dalam rumah tangga dianggap normal. Hilangnya identiti diri akibat tidak tahu asal usul kerana banyaknya anak luar nikah. Hiburan dan sukan dianggap sebagai asas dalam kehidupan dan bukan lagi perkara sampingan. Krisis kepupusan kerana melahirkan anak dianggap sebagai bebanan di samping budaya perkahwinan sejenis yang melahirkan penyakit bukannya zuriat.   

Oleh itu sebagaimana yang selalu diungkapkan “mencegah adalah lebih baik dari mengubati“, kita perlu berusaha untuk mengelakkan agar “penjajahan bentuk baharu“ ini menular dengan lebih buruk lagi di kalangan umat Islam. Keimanan perlu diteguhkan dan Islam perlu terus diperkasakan serta diterap dengan lebih mendalam lagi dalam kalangan umat Islam.

KhalilHadi
Muhammad Khalil Abdul Hadi

Islam perlu dijadikan tunjang asas kehidupan baik untuk kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan dan dalam masa yang sama, hak asasi orang bukan Islam terus dipelihara.  Sebelum terlambat dan melihat lebih ramai anak bangsa terjerumus dalam lembah kehinaan dan kemaksiatan, perkasakan Islam demi untuk melihat masa depan yang lebih cerah dan gemilang untuk agama, bangsa dan negara.

Normalisasi budaya Barat bukan jalan penyelesaian namun sebenarnya adalah jalan menuju kehancuran.

Islam Memperkukuh Perpaduan

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 18/12/2021

- Advertisement -