Belanjawan 2022 perkasakan ekonomi wanita

- Advertisement -

MENYENTUH berkenaan Bajet 2022 sebanyak RM332.1 bilion, lebih daripada RM241.25 juta diperuntukkan khusus untuk wanita. Ini bermakna kerajaan memberi ruang yang sangat luas kepada wanita untuk menjana ekonomi. Oleh itu, kita ucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan kerana prihatin terhadap kemampuan wanita untuk menjana ekonomi negara dan menyumbang dalam sektor ini. 

- Advertisement -

Ia juga menunjukkan suatu pengiktirafan daripada pihak kerajaan kepada wanita yang sebenarnya sangat berpotensi untuk melonjakkan pendapatan sendiri, keluarga dan negara. Dengan peruntukan yang khusus ini, kita tahu bahawa wanita boleh memperkasa ekonomi mereka untuk kebaikan keluarga dan juga masyarakat serta negara.

Dalam masa yang sama sebenarnya, dengan memperkasakan ekonomi wanita ini ia juga memberikan ruang dan peluang pekerjaan bukan sahaja kepada wanita malah kepada rakyat negara ini.

Oleh itu, wanita Malaysia perlu mengambil peluang untuk memanfaatkan peruntukan yang besar ini. Wanita perlu lebih kreatif untuk meneroka bidang baru walaupun mencabar sebagai menyahut seruan kerajaan ini dan berusaha untuk menjana pendapatan isi rumah masing-masing. 

Kemudian, saya juga suka menyebut bahawa bagaimana daripada peruntukan tersebut, RM5 juta diperuntukkan untuk yayasan kepimpinan wanita, yang melibatkan wanita dalam sektor ekonomi, latihan kepimpinan muda dan juga program wanita. Jadi melalui inisiatif ini juga, kita lihat bagaimana usaha yang dilakukan ini, tidak lain dan tidak bukan untuk melahirkan kepimpinan usahawan wanita. 

Wanita perlu juga meneroka bidang baru, bagi mereka yang belum meneroka tetapi mesti yakin bahawa mereka boleh mengubah nasib, keadaan diri masing-masing ataupun keluarga masing-masing demi memperkasakan ekonomi dan juga sumbangan kepada negara.

Kita lihat juga bagaimana kerajaan dalam program MyKasih Kapital, peruntukan diberikan sebanyak RM6.25 juta. Tujuannya adalah untuk menjana pendapatan daripada rumah, berniaga dalam talian. Bermakna kita lihat situasi hari ini perlu dimanfaatkan.

Perubahan ekonomi melalui e-dagang, perniagaan dari rumah, sebenarnya ia melibatkan hampir 5,000 wanita, melibatkan peluang pekerjaan itu 5,000 dan melibatkan 2,000 orang ibu tunggal. 

Oleh itu, bagi mereka yang kita tahu bahawa peruntukan-peruntukan lain daripada RM241 juta tadi, kita lihat bahawa, ia akan menaikkan taraf hidup wanita, mereka juga berpeluang memperkembangkan perniagaan masing-masing dan kita mengharapkan dengan peruntukan yang besar ini juga wanita akan tampil sebagai golongan korporat yang mampu menguruskan ekonomi mereka. 

Sebahagian daripada wanita di Malaysia ini, sebenarnya memiliki potensi yang sangat besar untuk menguruskan perniagaan masing-masing kerana mereka bukan sahaja biasa menjadi pekerja bawahan tetapi sebahagian besar mereka memiliki kemahiran, kebolehan dan kemampuan kerana mereka juga sudah pun melalui proses pembelajaran di institusi pengajian tinggi.

Jadi kita hendak menyebutkan bukan sahaja wanita B40 dan M40 mengambil peluang ini sebagai ketua isi rumah, ibu tunggal, wanita yang bekerja untuk membantu keluarga tetapi sebenarnya ia memberi peluang kepada seluruh wanita di negara untuk lahir sebagai golongan usahawan setanding dengan kaum lelaki.

Semoga akan lahir Khadijah di Malaysia ini iaitu seperti isteri Rasulullah S.A.W, yang kita tahu bahawa sebagai golongan usahawan yang disegani ketika itu oleh bangsa Arab sendiri.

USTAZAH SALAMIAH MOHD NOR
Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 7/12/2021

- Advertisement -