Muallimah Rohana rangkul dua anugerah PASTI Malaysia

- Advertisement -

TAMBUN: Muallimah PASTI Al-Muhajirin (I), Rohana Abu Hanifah telah menerima dua anugerah di dalam Majlis Sambutan Tiga Dekad Keguruan PASTI Malaysia di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, Tebrau kelmarin. 

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Kawasan Tambun, Ustaz Hafez Sabri berkata, pihaknya merakamkan jutaan tahniah atas Anugerah Istiqamah Keguruan PASTI Malaysia dan Anugerah Mujahidah PASTI Malaysia diraih Rohana. 

“Besar jasa Muallimah Rohana dalam mendidik pelajar PASTI. Sebagai salah seorang alumni PASTI Tambun, saya yakin ramai anak didik beliau yang kini menjadi insan berguna kepada negara dan penggerak PAS. 

“Inilah dia kehebatan anak didik PASTI. Masing-masing kembali memberi manfaat kepada PAS dengan keterlibatan diri mereka sebagai jentera parti di pelbagai sudut dan kepakaran masing-masing. Bagi saya, PASTI ini ialah kilang pencetak generasi pejuang,” ujarnya.

Pengerusi PASTI Tambun, Ustaz Megat Firdaus Megat Basri pula berkata, anugerah diterima beliau adalah penghargaan atas kesetiaan memberikan khidmat bakti sebagai tenaga pengajar PASTI selama tiga dekad iaitu dalam tempoh 32 tahun.

“PASTI Tambun amat bertuah kerana mempunyai guru-guru yang sangat berpengalaman dalam mendidik pelajar seperti beliau. Bukan itu sahaja, malah guru yang berpengalaman ini amat penting untuk menjadi rujukan guru-guru baharu, sekali gus membantu pengurusan PASTI agar lebih cemerlang. 

“Tugasan mendidik pelajar PASTI bukannya mudah. Pelbagai ragam pelajar yang perlu dihadapi saban hari sepanjang sesi persekolahan berlangsung. Namun, kesetiaan Cikgu Rohana untuk terus berkhidmat sebagai muallimah PASTI ini wajar menjadi inspirasi buat guru-guru yang lain,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Ustaz Megat turut menyeru agar guru-guru PASTI khususnya di Tambun ini agar mencontohi ketekunan Cikgu Rohana dalam menjalankan budaya kerja yang sangat cemerlang sebagai seorang pendidik termasuklah bergiat aktif dalam gerak kerja PAS di mana-mana peringkat. 

Bagi menjamin kebajikan guru PASTI agar terus terpelihara, beliau berkata pihaknya telah menyediakan pelbagai inisiatif antaranya memberi sumbangan barangan keperluan makanan asas dan bantuan wang tunai kepada guru PASTI yang terkesan akibat COVID-19. – HARAKAHDAILY 15/12/2021

- Advertisement -