KSM berperanan penting dalam Majlis TVET Negara

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim
- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) memainkan peranan penting memastikan kejayaan hala tuju Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara.

Timbalan Menterinya, Dato’ Awang Hashim, berkata TVET adalah tunjang pembangunan sumber manusia bagi memastikan tenaga kerja baharu berkemahiran tinggi dapat dihasilkan, terutama dalam bidang baharu yang penting kepada kemajuan negara.

- Advertisement -

Katanya, mesyuarat Kabinet pada 18 Disember tahun lalu, bersetuju dengan cadangan penubuhan Majlis TVET Negara sebagai majlis tertinggi peringkat nasional yang merentasi 11 kementerian berkaitan TVET dengan Kementerian Pengajian Tinggi sebagai urus setia.

“KSM merupakan anggota dalam Majlis TVET Negara yang berperanan menetapkan hala tuju TVET negara, termasuk dasar, strategi dan inisiatif untuk memperkasa TVET negara serta memastikan semua keputusan peringkat dasar dapat dipertimbangkan secara holistik dan komprehensif,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan sejauh manakah pelan hala tuju TVET di peringkat kementerian dan adakah jawatankuasa bersama yang diwujudkan memberi impak terhadap pelaksanaan TVET.

Awang berkata, Menteri Sumber Manusia turut menganggotai Majlis TVET Negara dan mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Majlis TVET Negara bersama Menteri Pengajian Tinggi.

Selain itu, katanya pegawai kanan kementerian turut dilantik menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Majlis TVET Negara dan Kumpulan Fokus Majlis TVET Negara.

“Mereka berperanan menilai dan memperaku cadangan hala tuju TVET negara dan memantau pelaksanaan strategi dan inisiatif agenda pemerkasaan TVET,” katanya.

Beliau berkata, komitmen dan percambahan idea yang konstruktif secara berterusan menerusi platform Majlis TVET Negara menjadi sinergi bagi memastikan strategi dan inisiatif agenda pemerkasaan TVET secara holistik dapat dibangunkan dan menyelesaikan sebarang isu dan cabaran pelaksanaan TVET. – HARAKAHDAILY 15/12/21

- Advertisement -