LATAS Muslimat Tambun bantu lupus Al-Quran lama

- Advertisement -

TAMBUN: Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) Muslimat PAS Kawasan Tambun telah melaksanakan pelupusan Al-Quran dan buku pengajian agama yang mengandungi ayat-ayat suci Al-Quran di Kampung Melayu, Batu 8, Hulu Kinta, di sini kelmarin. 

- Advertisement -

Pengerusi LATAS Muslimat PAS Tambun, Nor Aidah Din berkata, pengumpulan dan pelupusan Al-Quran dengan cara yang diizinkan syarak itu diusahakan bagi menjaga kesucian kitab suci Al-Quran yang lama, lusuh dan sudah tidak diguna pakai lagi. 

Katanya, memelihara kesucian Al-Quran atau sebarang bentuk bahan yang mencatatkan ayat Al-Quran merupakan tanggungjawab bersama semua pihak kerana ia merupakan panduan utama dan pedoman hidup umat Islam. 

“Sebagai umat Islam, kita perlu sedar (bahawa) tanggungjawab menjaga kesucian al-Quran bukan sahaja ketika proses menyalin, mencetak atau membacanya. (Malah) kesuciannya (juga) perlu dipelihara sehingga proses pelupusan. 

“Oleh itu, kami dari LATAS Tambun ‘terpanggil’ untuk menjayakan program ini. Kesedaran orang ramai untuk melupuskan Al-Quran atau kitab yang mengandungi ayat Al-Quran dengan cara betul ketika ini sangat tinggi. Program ini mendapat sambutan sangat besar,” ulasnya.

Bukan itu sahaja, malah usaha murni pihaknya itu juga berjaya mengumpulkan RM824 untuk disalurkan kepada Tabung Pertubuhan Kebajikan Nur Ihsan hasil pengumpulan 112 kilogram bahan pelupusan tersebut. 

Program julung kali diadakan itu diserikan lagi dengan gimik penyerahan Al-Quran untuk dilupuskan kepada wakil Pertubuhan Kebajikan Nur Ihsan Ipoh yang disempurnakan oleh Ketua Muslimat PAS Tambun, Yusmaliza Yusof. 

Menurut Yusmaliza, usaha ini amat penting untuk diteruskan dari semasa ke semasa kerana ia bukan sahaja melambangkan usaha menjaga kesucian ayat Al-Quran, malah turut sama sebagai kewajipan menjaga alam sekitar. 

“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya membakar Al-Quran, buku-buku ilmiah, kertas-kertas peperiksaan begitu sahaja menyebabkan berlakunya pencemaran,” ulasnya. – HARAKAHDAILY 15/12/2021

- Advertisement -