Drama LGBT: YADIM buat aduan kepada SKMM

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) tampil membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung sebuah drama pendek berunsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Aduan mengenai drama pendek berjudul Stay Away From Me lakonan anak muda tempatan Melayu Islam itu disampaikan kepada Unit Aduan Pengguna SKMM oleh pegawai YADIM, semalam.

- Advertisement -

YADIM juga dimaklumkan telah mengenalpasti sebuah aplikasi yang mempunyai unsur sama, iaitu Blued:Gay Live Chat and Dating dalam senarai App Store dan Google Play Store.

Terdahulu, Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada SKMM mengenai sebuah drama berkenaan.

Beliau turut menggesa SKMM untuk memantau serta mengambil tindakan terhadap sebarang kandungan digital atau cetak yang mempunyai unsur serupa.

Baru-baru ini, kecoh dalam kalangan warganet apabila sedutan drama berkenaan yang memaparkan babak homoseksual tular di media sosial.

Menerusi komen yang ditinggalkan netizen, rata-rata memberikan reaksi negatif terhadap video berkenaan dan menganggap kandungan itu tidak sesuai ditayangkan untuk tontonan umum. – HARAKAHDAILY14/12/2021

- Advertisement -