Kuasa media bantu lebih ramai penyumbang zakat

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR:
Agensi media memainkan peranan besar dalam usaha mempromosi serta menggalakkan lebih ramai penyumbang zakat di negara ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, berkata sumbangan media dalam menggerakkan lebih ramai pembayar zakat di negara ini memberi impak besar terhadap agensi berkenaan.

Katanya, jika dibandingkan capaian awam antara pihak media dengan agensi tersebut terlalu ketara berikutan media mampu mengubah persepsi sesebuah organisasi atau masyarakat.

- Advertisement -

“Sudah pasti satu jam usaha kami, berbanding satu minit usaha media, yang satu minit lebih berkesan daripada yang kami lakukan sepanjang masa sebab media mempunyai power luar biasa.

“Jadi, kalau media dapat memberikan sedikit masa lima hingga 10 minit dalam sebarang saluran yang ada, kesannya akan lebih besar kepada pembayar zakat dan penyumbang zakat,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Apresiasi MAIWP Bersama Pengamal Media di Hotel Shangri-La di sini, hari ini.

Menurut Mohd Daud, pihaknya akan melakukan kerjasama dengan agensi media di seluruh negara dengan memberikan tawaran rasmi bagi mengangkat isu-isu berkepentingan bagi kedua-dua pihak.

Katanya, tawaran yang ada membabitkan pertukaran maklumat antara MAIWP dengan agensi media agar dapat dimanfaatkan antara satu sama lain.

“Kita akan melihat data-data yang ada di peringkat media untuk kami gunakan dan media juga boleh gunakan data-data yang kami ada.

“Kita akan buat pertukaran data yang lebih mantap supaya tidak ada golongan yang tercicir dalam masyarakat,” katanya.

Menyentuh berkaitan pencapaian agensi tersebut dalam tempoh 100 hari pentadbiran, kata Mohd Daud, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi membantu lebih 1,000 penerima bantuan program Musaadah Tijariyyah 2.0.

Katanya, bantuan berjumlah RM3,000 diagih kepada setiap orang penerima yang layak dengan jumlah peruntukan RM4.113 juta. – HARAKAHDAILY 8/12/2021

- Advertisement -