UMK wujud Rainforest Research Centre di Banding

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mewujudkan UMK Rainforest Research Centre sebagai usaha memantapkan lagi kegiatan pembelajaran lapangan.

UMK Rainforest diwujudkan dengan kerjasama Kumpulan EMKAY bagi tujuan penyelidikan dan mempromosikan keunikan kawasan hutan hujan tropika Royal Belum berhampiran dengan Pulau Banding.

Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad yang menjalankan tugas Naib Canselor UMK berkata, penubuhan pusat penyelidikan melalui Yayasan Pulau Banding (PBF) akan memberi peluang kepada UMK meningkatkan penggunaan Pulau Banding bagi tujuan pengajaran serta penyelidikan.

- Advertisement -

Sebagai permulaan, katanya UMK dan PBF menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) pada Ogos lalu.

“Pusat penyelidikan berkenaan diuruskan Fakulti Sains Bumi (FSB) dengan mendapat mandat daripada Pengerusi PBF, Prof Emeritus Dato’ Dr Abdul Latiff Mohamad.

“Tujuan utama penubuhan UMK Rainforest Research Centre bertepatan dengan prinsip, piagam dan garis panduan penubuhan PBF bagi memulihara dan memelihara hutan hujan tropika Royal Belum,” katanya pada kenyataan.

Baru-baru ini beliau menyertai lawatan UMK ke Belum Rainforest Resort (BRR). Turut hadir Pengerusi Eksekutif Kumpulan EMKAY, Tan Sri Dr Mustapha Kamal Abu Bakar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof Dr Arham Abdullah.

Selain itu Dekan FSB Prof Madya Dr Mohamad Faiz Mohd Amin dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Ts Dr Noor Janatun Naim Jemali.

Menurut Prof Nik Maheran kawasan tersebut sangat strategik dengan kawasan penyelidikan hutan hujan tropika yang luas.

Tambah beliau ia merupakan antara hutan tropika tertua mempunyai khazanah alam yang terunggul.

Beliau juga berkata, pusat penyelidikan tersebut dibangunkan dengan konsep tersendiri termasuk penglibatan dari dalam dan luar negara, industri dan komuniti kerajaan (quadruple helix).

Menurutnya, melalui kemudahan dan fasiliti yang ada, pihak fakulti akan menjalankan aktiviti keusahawanan, latihan industri dan pembelajaran melalui real-living lab yang belum ada di mana-mana universiti lain.

“Dengan penubuhan pusat ini juga pelajar turut mendapat manfaat bagi tujuan pengajaran dan penyelidikan secara Work Based Learning (WBL) di mana kaedah pembelajaran secara lapangan tiga tahun di universiti, setahun di industri,” ujarnya.

Tambah beliau, UMK juga akan membantu PBF dalam usaha mendapatkan pengiktirafan sebagai tapak warisan antarabangsa UNESCO melalui akta perundangan yang ditetapkan seperti National Biodiversity Policy bagi memastikan tindakan murni itu mendapat sokongan penuh kerajaan.

Kerjasama pintar tersebut turut membabitkan Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK) dan Belum Rainforest Resort (BRR) khususnya berkaitan hospitaliti, pelancongan dan kesejahteraan (wellness). – HARAKAHDAILY 3/12/2021

- Advertisement -