MP Jelutong patut sokong tutup operasi judi

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, mengaku adalah peminat mantan Mursyidul Am PAS dan bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam perbahasannya di Dewan Rakyat, beliau juga berulang kali mengaitkan hujahnya dengan pemimpin tersohor PAS.

- Advertisement -

Kelihatan suatu pertentangan yang ketara apabila seorang pemimpin dari DAP, parti yang menentang perjuangan PAS menegakkan Islam, menjadikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai pemimpin yang diminati.

Namun mungkin ada benarnya kata Rayer kerana perlu diakui bahawa peminat Allahyarham bukan sahaja daripada kalangan ahli dan penyokong PAS, malah meliputi pelbagai peringkat rakyat dan merentasi kepercayaan politik.

Kalau begitu, apa masalahnya dengan pendirian Rayer?

Realitinya di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Jelutong hanya menggunakan nama Tuan Guru Nik Abdul Aziz, untuk menyerang PAS dalam pelbagai isu, terutama tindakan kerajaan Kedah, menutup kedai judi.

Ketika sidang Dewan Rakyat 23 November lalu, Rayer mendakwa pemimpin PAS sekarang tidak mencontohi ajaran Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam usaha memupuk perpaduan antara kaum dalam negara.

Beliau memberi contoh tindakan Menteri Besar (MB) Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian, selain mengehadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri itu berkuat kuasa serta-merta.

“Saya nak mengambil kesempatan untuk merujuk kepada Almarhum Nik Aziz sebagai ikon perpaduan walaupun beliau pemimpin PAS. Kita lihat ketika pentadbirannya dulu, orang bukan Islam di Kelantan, kebajikannya diberi perhatian malahan peruntukan besar diberikan Nik Aziz kepada masyarakat India di Kelantan dan kepada kerja membina kuil dan sebagainya,” kata Rayer.

Ketika itu, Ahli Parlimen Kuiala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, silih berganti meminta laluan dan mencelah membetulkan fakta, termasuk menyatakan bahawa MB Kedah mengikut Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Semalam, ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa Kementerian Wilayah Persekutuan, Ahli Parlimen Kuala Krai, menempelak Rayer.

Jika benar-benar mengagumi Tuan Guru Nik Abdul Aziz, katanya Rayer akan menyokong penutupan premis judi di Kelantan dan terbaharu di Kedah.

Katanya, ini kerana Allahyarham Tuan Guru, membuat keputusan menutup premis judi, selain mengehadkan lesen premis menjual arak sebaik sahaja PAS mengambil alih tampuk pemerintahan Kelantan pada tahun 1990.

“Keputusan yang dibuat oleh Allahyarham Tok Guru Nik Aziz agak kontroversi pada awalnya. Namun, akhirnya diterima dengan penuh terbuka oleh semua pihak, termasuk bukan Islam,” katanya.

Abdul Latiff mengucapkan tahniah kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang melarang penjualan arak di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina.

Katanya, ini adalah suatu tindakan yang baik, tegas dan sangat bertanggungjawab serta akan memberi kebaikan kepada rakyat.

“Ini jelas menunjukkan ia adalah peraturan yang baik dan terkehadapan, bukan berkait dengan rasis atau agama. Saya harap Jelutong juga akan mengambil perkara ini apabila merujuk kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/12/21

- Advertisement -