Tidak sangka ziarah anak Almarhum Ustaz Muhammad

Tuan Guru Zulkifli Ismail
- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE Foto ABU ANAS

TANGGA BATU: Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail tidak menyangka bahawa ahli PAS yang diziarahi sebenarnya adalah anak kepada Almarhum Ustaz Muhammad Yatim yang pernah aktif dalam Dewan Ulamak PAS negeri pada tahun 90-an dahulu.

Beliau bersama-sama dengan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Bakri Jamaluddin pada asalnya sekadar melakukan ziarah ke atas aktivis pemuda kawasan, Abdullah Muhammad, 42, yang kini uzur akibat terjatuh semasa bertukang pada tahun lepas.

Perkara itu terdedah dalam perbualan mereka apabila Abdullah menjelaskan bahawa beliau adalah anak kepada Ustaz Muhammad.

- Advertisement -

“Alhamdulillah dalam ziarah yang berkah ini, kita menziarahi sahabat kita saudara Abdullah. Dan saudara Abdullah ini merupakan aktivis PAS yang sangat gigih dan istiqamah.

“Dan dalam perbincangan tadi dengan beliau, saya baru mengetahui beliau ini adalah putera kepada Almarhum Tuan Guru Muhammad bin Yatim,” ujar beliau.

Menurut Tuan Guru Zulkifli, Ustaz Muhammad juga sebenarnya bersalasilah dengan keluarga besar beberapa orang ulama terkenal yang menetap di kawasan Paya Rumput Rembia.

“Dan ini adalah maklumat yang sangat menggembirakan hati saya kerana sememangnya sejak dulu lagi yang mendukung perjuangan PAS ini adalah dari kalangan ulama-ulama yang gigih dalam menyebarkan dakwah dan mempertahankan Islam.

“Jadi alhamdulillah kita berharap perjuangan Almarhum Tuan Guru Ustaz Muhammad Yatim akan berterusan di dalam zuriat dan keturunan dia dalam mendukung perjuangan PAS dan dalam mempertahankan agama di negeri Melaka ini,” ujar beliau kepada Harakahdaily semasa menziarahi Abdullah di Kampung Paya Rumput Rembia, di sini, semalam.

Sementara itu, Abdullah menzahirkan ucapan penghargaan dan rasa gembira atas ziarah tersebut.

“Tak terucap… setinggi-tinggi penghargaan dan jazakallahukhair buat Ustaz Zulkifli dan Haji Bakri dan sahabat-sahabat,” ujar Abdullah. – HARAKAHDAILY 3/12/2021

- Advertisement -