Kerah segala kemampuan cakna golongan armalah

- Advertisement -

“APA juga cara, kita kena cari mereka. Gunakan segala maklumat untuk mencari mereka yang susah. Bukannya hanya mereka sahaja cari kita. 

- Advertisement -

“Jika mereka mencari kita, mereka ini dahlah susah, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Terpaksa korbankan masa, tinggalkan kerja untuk mendapatkan bantuan. 

“Saya kerahkan semua agensi saya untuk giat mencari mereka-mereka ini untuk dibantu. Insya-Allah Allah akan menambahkan lagi rezeki asbab kita terus berusaha membantu orang yang memerlukan,”

Inilah ketegasan kita dalam #PasukanMenteriAgama dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Alhamdulillah. Saya bersama Yayasan Waqaf Malaysia dan Yayasan Muslimin dalam Majlis Menandatangani Penubuhan Tabung Cakna Armalah. 

Sebuah usaha untuk membantu golongan wanita yang berstatus ibu tunggal, janda dan balu yang memerlukan sokongan dan bantuan kewangan dan keperluan untuk meneruskan kehidupan dalam berhadapan dengan situasi yang serba mencabar pada masa kini. 

Setelah usaha kita memulakan sebuah kesedaran melahirkan Lelaki Qawwam yang berkualiti, apa yang diusahakan hari ini selari dengan penerusan kita untuk mewujudkan institusi keluarga yang kukuh dengan saling bertanggungjawab antara satu sama lain, dan menyokong penuh gagasan besar Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera. 

Perlu diingat, pengabaian yang berlaku di kalangan ibu bapa akan mengakibatkan kesan yang teruk daripada segi kesihatan mental, kualiti pendidikan, dan kekuatan rohani kepada anak-anak kecil yang sepatutnya dibentuk dengan sempurna. 

Sekali lagi, saya doakan usaha ini terus mendorong kepada seluruh rakyat Malaysia untuk cakna dengan masyarakat sekeliling untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik, dan mewujudkan sebuah negara yang sejahtera dan maju di pentas dunia:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat seksaan-Nya.”

(al-Maidah: 2)

SENATOR USTAZ IDRIS AHMAD
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 2/12/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/225083869659930/posts/266920975476219

- Advertisement -