KL City FC miliki kualiti tersendiri – Annuar

KUALA LUMPUR: Presiden Kuala Lumpur (KL) City FC Tan Sri Annuar Musa yakin dengan kemampuan barisan pemain skuad The City Boys yang bakal berentap dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata JDT adalah pasukan yang serba lengkap dan berada dalam kelas tersendiri, namun pemain KL City FC mampu memberikan tentangan jika berjaya mengekalkan momentum cemerlang seperti pada aksi sebelum ini.

Advertisement

“Permainan malam esok satu yang bersejarah dan KL City FC tentu rasa terhormat untuk menjadi pasukan yang beraksi pada ulang tahun ke-100 pertandingan Piala Malaysia.

“Nasihat saya kepada pemain supaya mereka tidak perlu rasa tertekan, mereka perlu tenang dan mengekalkan tempo mereka yang biasa dan saya tahu mereka mempunyai kualiti tersendiri,” katanya pada sidang media selepas sesi amanat dan ramah mesra bersama pasukan di sini, semalam.

Pada masa sama, Annuar berkata tiada magis dalam kejayaan bersejarah KL City FC melayakkan diri ke final pertandingan berprestij itu, sebaliknya prestasi terkini pasukan adalah hasil penambahbaikan yang dibuat secara teliti dan berperingkat.

“Sejak saya ambil alih bersama Bojan (Hodak) saya dapat lihat prestasi KL City FC meningkat secara beransur-ansur. Kita buat secara berperingkat dan segalanya diuruskan secara profesional. Saya tak campur soal pengurusan atau syarikat, cuma memberi nasihat berdasarkan pengalaman saya,” katanya.

Sebagai rekod, ini merupakan pertemuan pertama KL City FC dan JDT di pentas akhir Piala Malaysia selepas kedua-dua pasukan melalui penswastaan kelab, namun Johor FA pernah menewaskan Kuala Lumpur FA untuk memenangi Piala Malaysia pada 1985.

JDT muncul juara Piala Malaysia sebanyak dua kali pada 2017 dan 2019 sejak penubuhan kelab itu pada 2013, manakala ini perlawanan akhir pertama buat KL City FC yang ditubuhkan tahun lepas.

Kuala Lumpur FA pernah mencipta kejuaraan hatrik Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989 dengan ketiga-tiganya menumpaskan Kedah.

Sementara itu, Annuar menyeru penyokong kedua-dua pasukan yang hadir menyaksikan perlawanan akhir di stadium dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Ini kali pertama sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) perhimpunan 20,000 orang dalam satu venue dibenarkan. Kalau kita dapat tunjukkan kepatuhan, maka perlawanan dan pertandingan akan datang mungkin boleh dipertimbangkan.

“Jadi saya harap tidak ada berlaku kluster (Covid-19) tercetus kerana final Piala Malaysia,” katanya. – BERNAMA