UMK IPTA pertama di Malaysia terima pengiktirafan ACEEU

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pertama di negara ini menerima pengiktirafan Accreditation Council for Entrepreneurial and Engaged Universities (ACEEU).

Naib Canselor UMK, Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, anugerah itu disampaikan badan yang berpengkalan di Jerman diperolehi secara rasmi pada 23 November lalu.

Katanya, ACEEU menetapkan 15 syarat standard mendapatkan anugerah berprestij terbabit. Tiga daripadanya diperolehi dengan cemerlang untuk dikenali sebagai universiti keusahawanan terunggul.

- Advertisement -

“Kita target ingin menjadi universiti terunggul khususnya dalam bidang keusahawanan tercapai lebih awal, pada awalnya target kita pada 2023.

“Tetapi nampaknya berkat usaha anggota dan staff kita dapat lebih awal. Ini merupakan titik tolak untuk kita menjadi universiti keusahawanan yang terunggul sehingga ke peringkat Asia Tenggara pada tahun 2026 dan peringkat Asia pada 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Istiadat Konvokesyen UMK kali ke-10 dan 11 di Kampus Bachok di sini hari ini.

Turut hadir Pro Canselor II UMK Tan Sri Dr Asiah Abu Samah; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Arham Abdullah dan Pengarah Kanan Institut Keusahawanan UMK, Prof Madya Dr Mohammad Ismail.

Dalam pada itu Dr Nik Maheran berkata sejak penubuhan UMK 15 tahun lalu dianggarkan kira-kira seramai 4,000 graduannya bergelar usahawan dalam pelbagai bidang yang diceburi termasuk pertanian dan penternakan.

Katanya secara purata hampir 300 pelajar setiap tahun bergelar usahawan selepas menamatkan pengajian dengan hasil pendapatan sehingga RM3,000 sebulan.

Malah ada yang bekas graduan mampu menjana pendapatan sehingga jutaan ringgit.

Beliau berkata, meskipun Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menetapkan hanya 4 peratus mahasiswa yang menamatkan pengajian di menara gading perlu terlibat dalam bidang keusahawanan.

“Setakat ini kita mampu mencapai hampir 15 peratus setiap tahun dan ia terus meningkat walaupun KPT menetapkan hanya 4 peratus pelajar terlibat dalam bidang keusahawanan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/11/2021

- Advertisement -