Kawal jualan produk tidak bermanfaat pada platform e-Dagang

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan sejauh mana penguatkuasaan dilakukan terhadap barang yang dijual secara dalam talian, terutama melalui platform e-Dagang yang berkemungkinan boleh digunakan dalam aktiviti jenayah.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, berkata penjualan produk yang tidak bermanfaat di laman e-Dagang tanpa tapisan boleh membawa mudarat.

Advertisement

“Sebagai contoh ialah kamera tersembunyi yang menyerupai pelbagai objek seperti penggantung baju, tetapi sebenarnya ialah kamera perakam video.

“Malah pengguna boleh mendapatkannya dengan mudah sekali pada harga yang begitu rendah,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan peringkat jawatankuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Shaharizukirnain, tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak menyebabkan berlaku banyak kes yang melibatkan mangsa dirakam tanpa disedari.

Beliau menganggap tindakan tersebut merupakan antara bentuk gangguan seksual.

Sementara itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan mekanisme dan rancangan pembaharuan yang dirangka bagi memastikan isu kartel, penyalahgunaan kuasa serta monopoli dapat ditangani dengan lebih cekap dan holistik.

Katanya, pelakuan anti persaingan dalam sesebuah pasaran boleh mengakibatkan ketidakstabilan kos barangan asas.

Menurutnya, hal ini kerana wujudnya penyalahgunaan kuasa pasaran di peringkat rantaian bekalan secara tidak langsung mengakibatkan kenaikan harga barang. – HARAKAHDAILY 25/11/2021