Pemimpin politik wanita tidak boleh sombong

BINTULU: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berusaha memperkasakan lagi peranan golongan wanita demi masa depan anak dan cucu.

Menteri Muda (Undang Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Dato’ John Sikie Tayai berkata, wanita merupakan golongan yang tegas dan setia dalam apa jua keadaan.

Katanya, mereka memikul tugas yang berat sebagai ibu di rumah bagi sebuah institusi keluarga atau di rumah panjang.

Advertisement

“Wanita juga merupakan tiang negara memain peranan penting dalam keluarga, negeri dan negara,” katanya pada taklimat Memperkasakan Wanita GPS Dun Kakus di Hotel Promenade Bintulu di sini semalam.

Seramai 100 peserta terdiri daripada dalam kalangan Tuai Rumah Wanita, Ketua Biro Wanita dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Wanita Dun Kakus menyertai program tersebut.

John Sikie juga berharap golongan wanita tidak harus sombong atau meninggi diri apabila menyertai politik.

Kata beliau wanita perlu menjaga kesopanan dan imej parti.

“Wanita tidak boleh sombong dan meninggi diri. Perangai seperti itu tidak disukai masyarakat khususnya di rumah-rumah panjang.

“Cara kita berpolitik adalah mengikut gaya dan cara di satu-satu tempat. Kita mesti pandai menyesuaikan diri di sesuatu tempat. Ikut resmi padi semakin berisi semakin tunduk,” ujarnya.

Hadir sama pada majlis berkenaan Senator Rita Inso, Senator Susan Chemerai Anding dan Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sarawak Edwin Banta dan Jenny Bangga. – EDISI UKAS