Wan Junaidi perincikan Memorandum Persefahaman Kerajaan dan PH

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), hari ini, memberikan penerangan terperinci mengenai perkembangan terkini Memorandum Persefahaman Transformasi Dan Kestabilan Politik Di Antara Kerajaan Persekutuan Dan Pakatan Harapan (PH).

Dato’ Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, membuat penjelasan berhubung perkara yang dipersetujui bagi empat bidang, iaitu Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Kehakiman dan Perjanjian Malaysia 1963.

Advertisement

Bagi bidang Transformasi Pentadbiran, katanya perkara yang dikaji ialah penggubalan Undang-Undang Anti Lompat Parti, pelaksanaan pendaftaran umur minimum Pengundi 18 Tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik serta pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun.

“Dalam aspek Pembaharuan Parlimen, ini membabitkan membentangkan dan meluluskan undang-undang berkaitan perkhidmatan Parlimen dan Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) (Pindaan) 2022.

“Begitu juga untuk menstruktur Semula Jawatankuasa Parlimen Khas sedia ada dan menambah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengikut keperluan dengan Jawatankuasa Dewan Bagi Kedua-Dua Dewan menetapkan terma rujuk dan fungsi serta bidang kuasanya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Wan Junaidi berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang meminta Perdana Menteri menyatakan status terkini pelaksanaan Memorandum Memorandum Persefahaman Transformasi Dan Kestabilan Politik Di Antara Kerajaan Persekutuan Dan PH.

Turut dikaji dalam aspek Pembaharuan Parlimen ialah memastikan jumlah Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen lebih seimbang dan melaksanakan pindaan yang perlu kepada Peraturan Mesyuarat (Standing Order).

Bagi Kebebasan Kehakiman, katanya ini bagi memastikan pelaksanaan sepanjang masa kebebasan badan kehakiman, Transformasi Institusi Dan Tatakelola Kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara.

Sementara bagi pindaan Perlembagaan bagi perkara-perkara di bawah bidang Perjanjian Malaysia 1963 adalah termasuk pindaan-pindaan Perlembagaan bagi peruntukan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan, tafsiran “the Federation” di bawah Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan perenggan (a) Fasal (6) dan Fasal (7).

Dalam jawapan panjang lebar ini, Dr Wan Junaidi menerangkan perkembangan setiap perkara yang dikaji, termasuk mesyuarat yang dijalankan di peringkat pelbagai agensi kerajaan berkaitan, perbincangan dengan ketua parti, dan kajian soal selidik membabitkan Ahli Parlimen dan orang ramai.

Selain itu, beliau menerangkan kemajuan yang dicapai serta taklimat yang diberikan kepada jemaah menteri dan mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Seperti Ahli Yang Berhormat sedia maklum bahawa Memorandum Persefahaman Transformasi Dan Kestabilan Politik Di Antara Kerajaan Persekutuan Dan Pakatan Harapan, ditandatangani pada 13 September lalu. Saya merakamkan ucapan terima kasih di atas kerjasama semua pihak bagi menjayakan Memorandum Persefahaman ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/11/21