Kemenangan menjadi kayu ukur kebenaran?

- Advertisement -

BANYAK kali muncul tulisan-tulisan yang memberi komen PAS sepatutnya buat itu dan ini, PAS sepatutnya bersama parti itu dan ini selepas berakhir PRK, PRN atau PRU. Sebagai sebuah parti yang Islam menjadi dasarnya sesuatu perkara dinilai dari sudut betul atau salah menurut ajaran Islam, bukan dinilai dari sudut menang atau kalah. Itulah cara PAS. Memang menang dalam pilihan raya itu penting, tapi ia bukan ukuran kebenaran. Ia adalah ukuran sokongan. 

Dalam pilihan raya kemenangan atau kekalahan ditentukan oleh pengundi. Terserah kepada pengundi untuk menentukan asas membuat penilaian dan akhirnya membuat pilihan. Menang tidak semestinya benar dan kalah bukan semestinya salah. Begitu juga sebaliknya.

- Advertisement -

Sayangnya fahaman ‘menang-kalah’ kini muncul menjadi kayu ukur ‘benar-salah’. Ramai yang menulis menggunakan fahaman ini. Semua dilonggokkan di bahu pimpinan yang dikatakan ‘salah’ membuat keputusan. Lebih malang lagi apabila ada dalam kalangan ‘pimpinan’ yang dirasa begitu pemahamannya. Kenapa jadi begitu? Kita perlu melihat kembali sistem tarbiyah PAS.

Apakah kelemahan yang perlu diperbaiki? Tentu ada. Namun adakah semuanya kerana kelemahan tarbiyah atau kelemahan individu-individu tertentu yang terlalu ghairah mengejar kemenangan? Sudah penat berjuang tapi tak pernah menang atau sudah pernah merasai nikmat kemenangan dan mahukan ia berterusan? 

Kembali kepada tujuan asal perjuangan PAS yang tugas utamanya mengajak rakyat Malaysia menghayati ajaran Islam. Kita menggunakan semua ruang dan peluang yang ada untuk mencapai tujuan itu. Pilihan raya adalah alat untuk melaksanakan amanah dan mencapai tujuan itu. 

Tidak salah memberi teguran, pandangan atau kritikan tapi jangan sampai ia menimbulkan kekeliruan ahli dan penyokong. Jadilah pendukung yang sama-sama memikul tanggungjawab. Menang atau kalah telah Allah S.W.T tentukan. Pengundi hanya menjadi alat menentukan kemenangan.

Berusahalah untuk memenangi hati pengundi. Itu tugas dan tanggungjawab kita, ahli, pimpinan, pendukung dan penyokong PAS. Berpada-padalah dalam menulis. Bangkitkan semangat untuk berjuang, jangan bangkitkan semangat untuk menentang.

PROF MADYA DR MOHD FUAD MOHD SALLEH – HARAKAHDAILY 25/11/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1068787203/posts/10223623084899711/

- Advertisement -