Jangan abai usrah, liqa’ fikri dan ijtima’ – PJ Perak

- Advertisement -

LENGGONG: Jawatankuasa Pengurusan dan Kemajuan Kampung (JPKK) dan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan diperingatkan supaya menghadiri program tarbiyah, terutama usrah, liqa’ fikri atau ijtima’ yang dianjurkan PAS di kawasan masing-masing. 

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, PAS bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi juga sebagai gerakan Islam yang sangat menitikberatkan soal tarbiyah kepada ahli-ahlinya dan dakwah kepada masyarakat.

Menurutnya, melalui program-program tarbiyah setiap ahli akan menyedari bahawa perjuangannya bukan sekadar untuk matlamat dunia, tetapi lebih penting dari itu untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T.

“Jawatan yang diberikan kepada kita bukan suatu kemuliaan, tetapi amanah untuk dipertanggungjawabkan dan untuk itu wajib bagi kita menghadiri program-program tarbiyah.

“Melalui program-program seperti usrah, liqa’ fikri atau ijtima’ baru kita tahu matlamat sebenarnya perjuangan kita,” katanya berucap pada Majlis Penganugerahan Surat Penghargaan Kepada JPKK dan Watikah Perlantikan AJK Kerja PAS Kawasan Lenggong semalam.

Program sepetang yang disambung dengan Mesyuarat AJK Kerja PAS Lenggong itu semalam diadakan di Dewan Merdeka Lenggong, di sini dengan dihadiri hampir 70 jemputan khas.

Pimpinan PAS Lenggong yang hadir sama adalah Timbalan dan Naib Yang Dipertua, Mohd Hanafiah Idris dan Mohd Jamil Yahaya serta Ketua Pemuda dan Ketua Muslimat, Ustaz Muhammad Rifa’at Razman dan Salmiah Abdul Razak.

Razman yang juga Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri turut menyatakan, melalui usrah, liqa’ fikri atau ijtima’ akan dapat mewujudkan kesatuan fikrah dan kesatuan amal dalam berjamaah.

Majlis dimulakan dengan sesi ta’aruf AJK Kerja PAS Kawasan, diikuti penerangan oleh Razman selaku Yang Dipertua PAS Lenggong sebelum bersambung dengan makluman pelbagai permasalahan di kampung masing-masing daripada lebih 30 JPKK yang hadir.

Luahan pelbagai permasalahan, seperti banjir kilat, isu-isu berkaitan tanah, pertanian, perikanan dan sebagainya, kemudiannya dijawab oleh Razman untuk tindakan-tindakan selanjutnya.

Majlis itu diakhiri dengan penyampaian surat penghargaan, watikah perlantikan dan cenderahati kepada para penerima serta sesi bergambar. – HARAKAHDAILY 25/11/2021

- Advertisement -