TBFC julang trofi kejuaraan Cabaran Penalti DUN Panching

- Advertisement -

PAYA BESAR: Cabaran Penalti DUN Panching 2021 menutup tirai penganjuran dengan aksi 36 pasukan yang berentap merebut hadiah keseluruhan bernilai RM6,500 pada Grand Final di Padang Awam Permatang Badak, di sini Ahad lalu.

- Advertisement -

Pengerusi Kelab Sosial dan Kebajikan Paya Besar, Mohd Fitri Abdullah berkata, penganjuran kejohanan ini merancakkan kembali aktiviti sukan dalam kalangan masyarakat khususnya anak muda selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Program ini penganjuran pertama oleh Kelab Sosial dan Kebajikan Paya Besar dalam mendekati anak-anak muda dalam sukan bola sepak.

“Kelainan yang dibawa dalam penganjuran ini antaranya aspek patuh syariat. Walaupun ada di kalangan peserta yang bukan beragama Islam namun mereka juga disyaratkan untuk menutup aurat.

“Ini merupakan satu petunjuk bahawa, pemakaian menutup aurat bukanlah ukuran sesebuah kejayaan,” ujarnya.

Pertandingan menyaksikan kumpulan TBFC menjadi juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, bola, hamper serta piala kejuaraan. 

Manakala, naib juara dimenangi DACS FC membawa pulang hadiah RM700, bola dan hamper, sementara tempat ketiga dimenangi Utara B FC membawa pulang wang tunai RM500 beserta bola dan hamper 

Tempat keempat dimiliki oleh Zipro FT yang membawa pulang wang tunai RM300, bola dan hamper, selain empat pasukan lagi telah memenangi hamper.

ADUN Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya dan Penghulu Mukim Kuala Kuantan 2, Roslan Amat turut hadir menyaksikan perlawanan dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Anugerah penjaga gol terbaik dinobatkan kepada Muhammad Amirul Hamam daripada TBFC dan pemenang timbang bola dimenangi oleh Mohd Faiz Aiman Mohd Fauzi daripada DACS FC. – HARAKAHDAILY 24/11/2021

- Advertisement -