Perjuangan PAS bukan muncul secara mendadak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perjuangan PAS bukanlah satu kemunculan secara mendadak yang tiba-tiba, tetapi ia adalah lanjutan daripada perjuangan orang terdahulu dalam meletakkan Islam di tempat yang tertinggi.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, pada 24 November 1951, Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) telah ditubuhkan secara rasmi dalam satu persidangan ulama Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai.

“Diputuskan supaya PAS menjadi sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan melalui landasan demokrasi ke arah membentuk sebuah negara yang diredhai Allah,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

- Advertisement -

Semenjak itu, katanya PAS muncul sebagai sebuah pertubuhan politik Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara, kemudian menyertai pilihan raya demi pilihan raya.

Tambahnya, PAS juga menggunakan pelbagai saluran untuk menyampaikan mesej dakwahnya termasuk membentuk beberapa kerjasama politik dengan bukan Islam semenjak 1953.

Beliau berkata, penubuhan PAS disifatkan oleh, Setiausaha Agung PAS ketika itu, Ustaz Haji Ahmad Maliki sebagai bertujuan untuk ‘menyatukan umat Islam’.

Sehingga kini, ujarnya PAS terus mengangkat agenda penyatuan tersebut menerusi tema yang dirasmikan dalam Muktamar Tahunan PAS ke-67 iaitu ‘Islam Menyatukan Ummah’.

Ahli Parlimen Pendang itu menambah, dengan genap tujuh dekad penubuhan PAS, didoakan agar seluruh ahli dan kepimpinannya yang diterajui oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin dan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dapat melayari bahtera perjuangan dengan lebih gagah demi kelangsungan perjuangan Islam.

“Semoga Allah terus memelihara bahtera ini dan memberikan kekuatan serta petunjuk kepada pemimpin kita.

“Juga semoga diteguhkan hati kita, ahli-ahli PAS untuk istiqamah berjuang menegakkan syariat Islam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/11/2021

- Advertisement -