Kedah giat atasi masalah bekalan air terawat

Bina lima LRA dan perbaiki jajaran paip utama sepanjang 13,000 kilometer

air
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masalah perkhidmatan perbekalan air yang menjadi isu rakyat di negeri Kedah hakikatnya adalah kerana infrastrukturnya telah ketinggalan puluhan tahun ke belakang.

- Advertisement -

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun bertekad menyelesaikannya menerusi pinjaman dan geran Kerajaan Persekutuan serta penglibatan swasta.

“Masa saya jadi Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah yang ke-10, (Tan Sri) Ustaz Azizan (Abdul Razak) dulu, masa itupun kita dah menyedari berapa jauhnya kita di belakang keperluan semasa, dari segi infrastruktur air.

“Loji, paip, loji rawatan, intake kita, muka sauk kita, jauh di belakang. Masa itu kita kaji tengok, kita ada 15 tahun di belakang infra kita. Kemudian kita mulakan usaha bersesuaian dengan Akta WSIA (Industri Perkhidmatan Air) 2006.

“Akta 655 itu mengkehendaki satu operator air ambil alih daripada Jabatan Bekalan Air. Kita mulakan pada tahun 2010 penswastaan pengkorporatan operator air ini. Alhamdulillah telah berjalan,” imbas beliau dalam rancangan bersama TV1 RTM, di sini semalam.

Berkongsi cabaran isu tersebut, beliau memberitahu bahawa jajaran paip utama yang membekalkan air ke kediaman atau penempatan penduduk di negeri itu adalah sepanjang 13,000 kilometer (km).

Kedudukan antara rumah-rumah pula katanya, ada yang berjarak antara 2 hingga 3 km antara satu sama lain di mana sambungan jauh dari paip utama menyebabkan kos penyelenggaraan tinggi.

Maklumnya juga, pada tahun 2010 itu juga telah dicadangkan untuk isu bekalan air tersebut diatasi dengan pembinaan loji rawatan air (LRA) dan semasa pentadbirannya kini diluluskan lima LRA.

“Kemudian kita ada rancangan untuk penggantian paip. Kalau loji baru ada lima, paip yang bocor itu tak ganti, macam tak ada loji la juga. Tahun ini kita hadapi isu NRW, Non Revenue Water (air tidak berhasil) yang tinggi.

“Ada lah lebih kurang dengan negeri-negeri lain juga. Tapi kadar 40 percent ke atas ini terlalu tinggi. Kalau kita ada 100 timba, 40 timba tumpah. Dia punya analogi macam itulah. Jadi terlalu tinggi NRW itu. 

“Kita nak atasi ini kos dia mungkin mencecah RM1 bilion. Dan kita sedang usahakan untuk libatkan pihak swasta juga. Tapi ini perlukan kepada kebenaran khas daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). 

“Kena ada undang-undang ya, tak boleh melibatkan swasta, kita telah memohon. Saya fikir SPAN tidak ada halangan untuk kita libatkan swasta dalam aspek penggantian paip, untuk mengatasi NRW,” ujarnya. 

Katanya, pembinaan lima LRA tersebut kini dalam proses pembinaan antaranya di Jenun Baru, Bukit Selambau, Lubuk Buntar dan Pelubang di mana semuanya akan membekalkan air terawat dengan kuantiti yang lebih banyak.

Jelasnya, usaha tersebut akan diselarikan dengan pembaikan jajaran paip yang kebanyakannya adalah akaun domestik di mana tidak memberi hasil banyak kepada kerajaan negeri.

Berbanding negeri lain yang mempunyai banyak akaun industri ujarnya, di mana itu mendatangkan pendapatan buat negeri berkenaan.

“Jadi untuk mengatasi isu ini alhamdulillah Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pinjaman dan juga geran untuk LRA ini selain daripada kita sedang dalam proses untuk memperbaiki paip dasar laut bekalan air ke Langkawi. 

“Ada 46 km submarine pipe yang bawa air terawat daripada Sungai Baru di Perlis itu Kedah punya pergi ke Langkawi. Ada kebocoran akibat kena sauh kapallah semua, sudah diperbaiki. 

“Tapi kita nak buat audit integriti, sejauhmana paip itu ketahanan dia berapa tahun lagi. Dan kita dah dapat pinjaman RM50 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk kita perbaikilah paip itu, berapa kilometer yang kena diganti. 

“Kita juga sedang kaji teknologi-teknologi yang bersesuaianlah untuk memperbaiki laluan paip 46 km itu. Dan kita dah mohon untuk satu lagi submarine pipe line juga daripada tanah besar ke Langkawi.

“Kerana permintaan di Langkawi dengan kemasukan pelancong yang banyak, projek-projek pelaburan baru yang tinggi, jadi permintaan terhadap air tentulah akan meningkat lepas daripada ini,” ujarnya.

Menurutnya, Kedah memohon Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan satu lagi projek LRA daripada tanah besar ke Langkawi untuk memenuhi keperluan tersebut.

Jelas Sanusi, beliau bersyukur kerana pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mencadangkan beberapa pilihan sebagai menjamin bekalan air ke pulau pelancongan itu.

“Masalah dia la ni kita ada satu line saja, kalau line itu habis, orang Langkawi keringlah. Kita cubalah untuk (atasi) itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/11/2021

- Advertisement -