Naik ERL hujung minggu ini dengan hanya RM1

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia berpeluang ‘makan angin’ menaiki perkhidmatan tren Express Rail Link (ERL) pada Sabtu dan Ahad ini dengan hanya RM1 untuk tiket sehala ke mana-mana stesen ERL.

Peluang itu dinikmati menerusi ‘ERL RM1 Joyride Weekend’ iaitu inisiatif Express Rail Link Sdn Bhd dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), bertujuan untuk merangsang semula perjalanan riadah tempatan.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif ERL Noormah Mohd Noor dalam kenyataan hari ini berkata program tersebut akan dirasmikan Sabtu ini oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

“ERL gembira dapat memainkan peranan dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk menghidupkan semula industri perjalanan riadah dan sebagai pemain industri yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 yang masih berterusan, kami percaya semua pihak patut melaksanakan peranan mereka bagi menyokong pemulihan negara.

“ERL turut bekerjasama dengan beberapa pemain industri untuk kempen tersebut, termasuk Tabung Haji, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), KL Hop-On Hop-Off, Perbadanan Putrajaya, Sukaseni, foodpanda, NU Sentral, Mitsui Outlet Park, komuniti pelancongan tempatan LOCCO and pengusaha makanan jalanan, TAPAK,” katanya.

Menurut Noormah beberapa stesen ERL akan menganjurkan aktiviti menarik seperti Stesen Sentral KL menawarkan pemberian percuma daripada foodpanda dan bertemu dengan pemain cosplay, manakala Stesen KLIA 2 menawarkan jualan murah Gateway@klia2 Giler Sale serta jualan akhir tahun Mitsui Outlet Park.

“Kami harap orang ramai tidak akan melepaskan peluang ini untuk membawa keluarga dan rakan-rakan bersiar-siar di bandar raya dan membantu melonjakkan ekonomi, selain itu tidak perlu risau kerana semua tren dan stesen kami kerap dibersihkan dan menjalani proses disinfeksi, selari dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Nancy menerusi kenyataan sama berkata sejak pandemik melanda, pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Sangat mengujakan untuk melihat perjalanan riadah domestik bergerak semula selepas kerajaan mula melonggarkan sekatan perjalanan pada Oktober dan ini telah membantu sesetengah pihak dalam industri tersebut.

“Meneruskan usaha ini, kami mengalu-alukan usaha sama daripada sektor swasta untuk membantu kami menghidupkan semula industri berkenaan dan menolong pemain industri bangkit semula dan kami juga sangat gembira dengan inisiatif ERL menganjurkan acara Joyride ini yang menyatukan pelbagai pihak bagi menyokong pemulihan negara,” katanya.

Promosi istimewa tersebut hanya boleh didapati dengan pembelian menerusi aplikasi mudah alih KLIA Ekspress bermula 22 Nov. 

Informasi lanjut mengenai promosi dan aktiviti berkenaan boleh diperoleh menerusi laman sesawang https://www.kliaekspres.com/offers/rm1-joyride/rm1-joyride/. – BERNAMA  

- Advertisement -