Beri perhatian kritikal isu kedaulatan dan keselamatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kedaulatan dan titik pangkal negara wajib diangkat sebagai keutamaan agenda Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2022, demikian peringat Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik).

Menurutnya, penambahan kakitangan profesional seperti Pegawai Tinggi Diplomatik, pegawai penyelidik dan pegawai diplomasi antarabangsa perlu diadakan bagi melaksanakan dasar baharu ini.

- Advertisement -

“Supaya lebih terfokus, profesional, cekap dan berani berada di pentas antarabangsa. Jumlah diperuntukkan hanya sebanyak RM3 juta adalah sangat kecil berbanding komitmen dan tugas besar perlu dilaksanakan bagi pengukuhan kedaulatan sempadan negara. 

“Saya mencadangkan agar anggaran projek ini dinaikkan ke RM10 juta bagi penambahan perbelanjaan dan sangat penting kerana ia melibatkan urusan-urusan diplomasi antarabangsa.

“Termasuk dalam aspek perundangan sama ada di ICJ (Mahkamah Pengadilan Antarabangsa) mahupun di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” ujarnya membahas Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat, di sini kelmarin.

Beliau menyatakan kekesalan atas isu penarikan rayuan kes Pulau Batu Puteh oleh kerajaan terdahulu yang memberi impak sangat besar bagi kedaulatan sempadan negara.

Katanya, tuntutan bertindih ke atas sesebuah pulau menjadi tanda aras kepada persempadanan maritim antarabangsa di mana faktor sejarah akan turut menjadi rujukan utama dalam menentukan kedaulatan. 

Menurut beliau, kes Pulau Batu Puteh itu turut memberi kesan kepada ancaman keselamatan nelayan di laut dan dalam operasi cari gali minyak oleh PETRONAS. 

“Begitu juga dengan tuntutan bertindih dengan negara luar seperti Pulau Spratly dan Beting Patinggi Ali di kawasan perairan Sabah,” ujarnya.

Perbahasan pada butiran di bawah MKN turut dikemukakan Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) yang menyentuh mengenai penubuhan Pusat Strategi Keselamatan Negara (NASTRAC). 

Beliau menzahirkan kebimbangan NASTRAC yang bertujuan menumpukan aspek pemikiran dan perancangan strategi terhadap Dasar Keselamatan Negara akan mengulangi penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP).

“Yang dihapuskan kerana berlakunya perubahan pentadbiran kerajaan. Persoalan saya di sini apakah yang membezakan antara NASTRAC dan KSCIP ini yang telah dihapuskan kalau bukan untuk pembangunan pemikiran strategi anti keganasan?

“Kedua, mengapa kita tidak sekadar menggembleng agensi-agensi pemikiran lain seperti ISIS untuk tujuan yang sama. Ketiga, dalam konteks yang sama mengapa NASTRAC tidak diletakkan di bawah kepentingan kementerian berkaitan?

“(Iaitu) yang diberikan portfolio khusus mengenai keselamatan seperti KDN atau Kementerian Pertahanan supaya peranan kementerian tersebut dapat terus di perkasa dalam melawan jenayah keganasan dan keselamatan negara,” soalnya. – HARAKAHDAILY 24/11/2021

- Advertisement -