Cinta di langit Kabul, apa ada pada cinta (Siri IV)

- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

- Advertisement -

DEBU-DEBU berterbangan, mengibas kekiri dan kekanan aspal kering, sesekali kami sesenggukan dan melambung kecil akibat jalanraya yang akibat empat dekad peperangan.

Lelaki memegang senjata melakukan sekatan jalanraya berlapis di mana-mana dalam tempoh lima jam perjalanan panjang daripada Kabul Afghanistan ke Wilayah Loga.

Tujuan pemusafiran kali ini untuk melihat telaga tiub yang dibina oleh Muslim Care Malaysia, Yayasan Amal Malaysia serta NGO kolaborasi yang lain.

“Jika mereka sebut perjalanan dua jam maka akan berganda sebenarnya…chicken minutes” leter Haji Zulkifli Wahijan, lulusan kampus Universiti Hull England. Pengalaman aku di negara Sub Continent, soal masa seakan perlecehan manusiawi. Ironinya Kita umat Islam mengulang baca Surah Al-Asr!.

“Tak larat Kita nak hadap sarapan dengan makan biskut pagi ni…ejas laa saing-saing” aku bergurau dengan teman-teman misi kemanusiaan Afghanistan Muslim Care Malaysia.

Tiba-tiba bas kecil yang kami naiki memasuki pekan kecil yang masih berselimut cuaca dingin menciut, kosong darjah celcius. Pemandu bas memakir kenderaan dan kami bersarapan dengan Shai panas, roti Afghanistan dengan berlauk daging masak kari yang enak.

“Makan kenyang-kenyang semua…Kita tak tahu jam berapa pula kita nak jamaah makanan hari ini,” arah Ahli Dewan Negara yang bersama kami, Haji Mohd Apandi. Dia paling tua dalam kalangan kami, namun selera makannya paling jelira berbanding anggota misi yang lain.

Sebelum menyambung perjalanan, Dr Azhar Yaakob memborong buahan seperti epal yang dibungkus plastik besar dengan nilaian kasar sekitar sepuluh ringgit sahaja.

Buah buahan paling praktis untuk diagihkan kepada anak-anak kecil yang biasanya menghurungi kami, manusia asing bagi mereka dengan berhidung ulas bawang.

Kami singgah disebuah markas pentadbiran daerah untuk mengambil Tim keselamatan kerajaan Emiriah Islam Afghanistan, sebuah kereta mengiringi kami manakala seorang anggota Toliban menemani kami dalam bas.

“Kamu team pertama daripada luar negara yang masuk ke kawasan ini, jauh dan agak terpencil…mereka masyarakat pedalaman sangat memerlukan bekalan air bersih,” terang saudara Mukhtar yang mengiringi kami.

Anak muda dengan guratan wajah genius itu menyeringai senyum bila kami memuji namanya seakan Umar Mukhtar, sang ulama pejuang yang syahid di bumi Libya pada tahun 1915. Ulama pemberani itu digantung sehingga mati syahid oleh tentera kafir Itali.

Kenderaan yang membawa kami semakin menghampiri lokasi, terhuyung hayan dengan jalan tanah tak bertar. Pemandangan Kiri kanan jalan desa itu sangat indah, seperti latar filem Hindustan dekad 1960an, filem “Bobby, Sanggam, Heti mere Satti” pernah menjadi fenomena di tanahair kita terutama daerah agrarian seperti Besut.

Aliran tali air, jajaran pokok ditata rapi, lembu kambing meragut rumput adalah latar desa yang mengasyikkan. Rumah rumah kampung dibina daripada tanah liat serta bata kosong dengan pagar yang tinggi.

“Tembok pagar rumah mereka tinggi mengapa?” Aku bertanyakan kawan sebelah yang memisat- misat mata. “Tujuannya supaya anak perempuan mereka bebas di dalam kawasan premis rumah mereka…mereka menjaga rapi kehormatan wanita sebab itu Kita tak akan jumpa wanita Afghanistan berkeliaran, ” aku menjawab tanpa disuruh.

Pagar tembok rumah yang kukuh juga adalah lambang status sosial, sebagai benteng keselamatan malah ada banyak rumah menumpang pagar tembok rumah yang sama. Satu keluarga besar menumpang dalam pagar tembok rumah yang sama, trend ini sama seperti di Pakistan, Kashmir dan Bangladesh.

Kenderaan kami memasuki Shahmazar Logar, pekan kecil yang sesak namun terasa seperti kita kembali ke tahun 1950an. Segalanya seperti diputar filem hitam putih Lata Mageshkar, segalanya nampak nostalgik dengan tiang kedai daripada kayu serta manusia berjualan riuh rendah. Daging lembu dan kambing bergantungan pada tiang kayu, nampak segar kerana cuaca dingin kosong darjah celcius!.

“Jauh jika nak Cari mertua Kat sini,” celah satu suara nakal. Hidup sangat membosankan jika tanpa gurau canda.

“Elehh…kalau dah makan ubat kencing manis…lupakanlah!” bantah yang lain dengan deraian tawa. Diabetes adalah penyakit yang membunuh percaya diri kaum lelaki, segala kekuatan diri ditarik perlahan daripada kehidupan.

Penduduk kampung Shamazar kelihatan teruja menyambut rombongan misi kemanusiaan Afghanistan Muslim Care Malaysia yang didokong oleh NGO kolaborasi. Guratan wajah bersih penduduk kampung, dengan tangan mengitari tasbih memuja serta memuja Allah. Itulah kehidupan mereka, walau tampak dhaif namun kuat mengikat diri dengan sang pencipta.

“Orang Malaysia, walaupun remaja tua…sibuk dengan gajet…zikir 33 kali pun barai lepas solat, sama naik anak remaja dengan yang dah pencen bekerja…gajet sudah mengikat manusia!” leter temanku bila membandingkan rakyat Afghanistan dengan gaya hidup rakyat Malaysia.

Anggota misi kemanusiaan bergilir memotret diri dengan telaga tiub, menghantar senyuman paling manis agar kekal sebagai kenangan paling indah dalam hidup. Pak Jamu paling sibuk, diikuti oleh Haji Zulkifli Wahijan manakala Ahmad Safwan Ujar sebagai media rasmi MCM merakam segalanya.

Aku, Ustaz Kamal Saari dan Dr Azahar Yaakob mengambil peluang mengagihkan buah-buahan kepada kanak-Kanak yang seolah ada pesta kecil menyambut orang asing di desa mereka. Rumah rakyat jembel dibina dengan lumpur bercampur dengan tahi lembu, tiada dekorasi khas untuk kediaman mereka. kanak-Kanak berebut mendapatkan belon dan buah-buahan, tak mudah mendisiplinkan mereka.

Telaga tiub membantu 250 buah keluarga di desa tersebut, hanya dengan nilai 1050 USD!, besar manfaat kepada masyarakat serta jauh lebih berpahala daripada mengerjakan umrah sebagaimana pandangan Sheikh Dr Yusuf Qardawi. Menurut Haji Zulkifli Wahijan, Muslim care Malaysia mengunjurkan untuk membina seratus buah telaga tiub, dengan matlamat untuk manfaat kepada puluhan ribu manusia.

(Bersambung)

(Penulis anggota misi kemanusiaan Afghanistan Muslim Care Malaysia pendakwah bebas, Penulis)HARAKAHDAILY 22/11/2021

- Advertisement -