Bijak dalam melayari jaringan elektronik

- Advertisement -

AL-QURAN merupakan kitab yang menjadi pedoman dan panduan kehidupan manusia. Ia menyeru kepada mentauhidkan Allah S.W.T. Seruan mentauhidkan Allah dizahirkan menerusi al-Quran melalui pelbagai bentuk, misalnya dalam bentuk perbandingan yang hanya dapat difahami oleh orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan. 

- Advertisement -

Perkara seperti ini telah dirakamkan dalam Surah al-Ankabut, ayat 43 yang bermaksud: 

“Dan misal-misal perbandingan yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya.”

Pengkisahan perumpaan Allah ini sebenarnya memberi satu gambaran mengenai umat manusia pada masa kini sekiranya kita mahu berfikir. Hal ini jelas disebutkan oleh Allah S.W.T dalam Surah Al-‘Ankabut, ayat 41 yang bermaksud: 

“Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal sesungguhnya sarang-sarang yang sehabis-habis reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan.”

Jika kita termasuk dalam kalangan orang yang berpengetahuan, kita menyedari bahawa kita kini berada sedang dalam satu jaringan yang besar seumpama berada dalam jaringan sarang labah-labah yang rapuh. 

Jaringan ini dikenali sebagai WWW atau World Wide Web. Dalam Bahasa Melayu, disebut sebagai jaringan web sedunia iaitu sejenis perkhidmatan perkongsian dokumen elektronik melalui rangkaian internet yang dirintis pada tahun 1990. 

Perkataan ‘web’ itu sendiri memberi makna sarang labah-labah. Hari ini kebergantungan manusia kepada jaringan internet ini amat tinggi hinggakan ada yang merasakan bahawa tanpa jaringan internet kita seolah-olah tidak dapat hidup sempurna di dunia ini lagi. 

Namun, kita perlu mengelakkan diri daripada terperangkap dalam jaringan yang mengandungi pelbagai bentuk maklumat termasuk yang tidak benar, bersifat fitnah dan ada yang boleh memesongkan akidah. 

Penting bagi kita untuk mempunyai ilmu pengetahuan dalam melayari jaringan elektronik ini supaya kita dapat membezakan antara yang benar dengan yang palsu supaya kita dapat meraih manfaat yang dikehendaki.

DR. NOR AZARUDDIN HUSNI NURUDDIN
Felow Kanan,
Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar,
IKIM – HARAKAHDAILY 22/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/230257855797290/posts/266415222181553

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -